Fadhlina
Fadhlina

Akta baharu pendidikan awal kanak-kanak akan digubal - Fadhlina

21 Aug 2025 11:27am

Satu akta baharu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak akan digubal bagi memastikan kawal selia dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, ia merupakan antara strategi agenda reformasi pendidikan digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu memperkukuh tadbir urus pendidikan di negara ini.

"Tatakelola di semua peringkat pembelajaran daripada prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah prauniversiti akan diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dengan lebih tuntas," katanya pada sesi penggulungan usul RMK13 bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Rakyat. 

Beliau berkata, KPM juga akan memperkenalkan Kurikulum Prasekolah 2026 berpaksikan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027, yang menekankan pembentukan sahsiah, keyakinan diri, nilai kasih sayang dan daya tahan melalui pendekatan berasaskan pengalaman yang sesuai dengan tahap umur kanak-kanak.

"Sehubungan itu, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan akan dijadikan mandatori kepada semua institusi pendidikan awal kanak-kanak, dengan penekanan kepada nilai karamah insaniah, pembentukan karakter, pemikiran kritis serta kemahiran hidup.

"Untuk menjayakan perkara ini, penguatkuasaan Akta Pendidikan 1996 akan diperkukuh," katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM sentiasa komited memastikan kedudukan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai kelayakan prauniversiti bertaraf antarabangsa dikekalkan.

"Dengan jumlah kemasukan pelajar sekitar 50,000 hingga 55,000 orang setiap tahun, pelbagai langkah sedang dan akan terus dilaksanakan bagi menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya melalui Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelan itu, katanya memberi tumpuan kepada lima fokus utama iaitu penjenamaan imej, peningkatan infrastruktur, penambahbaikan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel serta kurikulum yang setara dengan piawaian antarabangsa seperti A-Level. - Bernama

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp