Rabun jauh atau miopia merupakan keadaan di mana seseorang mengalami kabur penglihatan jauh tetapi jelas penglihatan dekat. Gambar kecil: Profesor Dr Bariah
Rabun jauh atau miopia merupakan keadaan di mana seseorang mengalami kabur penglihatan jauh tetapi jelas penglihatan dekat. Gambar kecil: Profesor Dr Bariah

Jangan pandang mudah rabun kanak-kanak

05 Aug 2025 10:15am

Masalah penglihatan yang banyak dialami oleh kanak-kanak dan remaja adalah rabun jauh.

Rabun jauh atau juga dikenali sebagai miopia merupakan keadaan di mana seseorang mengalami kabur penglihatan jauh tetapi jelas penglihatan dekat.

Kanak-kanak miop sering mengadu kesukaran untuk melihat tulisan guru di atas papan putih di dalam kelas atau mengecilkan bukaan mata apabila melihat objek jauh.

Miopia sering dianggap sebagai suatu keadaan yang tidak membahayakan kerana beranggapan yang ia mudah dirawat menggunakan kaca mata, kanta sentuh atau surgeri refraktif.

Namun, miopia yang tidak dikawal boleh menyebabkan miopia tinggi (lima diopter ke atas) berlaku dan mempunyai risiko tiga kali ganda untuk mendapat katarak, dua kali ganda mendapat glaukoma dan enam kali ganda mendapat lekangan retina berbanding normal.

Penyakit okular ini menyebabkan peningkatan beban ekonomi kepada negara akibat kos rawatan yang tinggi di samping boleh menyebabkan buta jika tidak di kesan dan dirawat awal.

Adalah dianggarkan hampir 10 peratus penduduk dunia akan menjadi miop tinggi menjelang 2050.

Oleh itu kawalan perkembangan miopia amat penting dilakukan di peringkat awal bagi mengurangkan kesan komplikasi miop tinggi.

Artikel Berkaitan:

Foto: Canva
Foto: Canva

Miopia kini telah menjadi salah satu masalah kesihatan awam dunia akibat peningkatan drastik peratusan populasi miop, terutama di benua Asia.

Kajian menganggarkan peningkatan peratusan miopia dari tahun 2000 hingga 2050 di rantau Asia Tenggara adalah dari 39 peratus ke 62 peratus dan dari 50 peratus ke 66 peratus di rantau Asia Pasifik.

Kajian dalam kalangan kanak-kanak Melayu di sekitar Kuala Lumpur turut menunjukkan peningkatan peratusan yang merisaukan mengikut peningkatan umur iaitu 7.7 peratus untuk usia 7 tahun dan 30.70 peratus untuk usia 15 tahun.

Miopia turut memberi kesan kepada pencapaian akademik dan keyakinan diri kanak-kanak di mana kajian menunjukkan pencapaian akademik dan keyakinan diri kanak-kanak miop yang tidak dirawat adalah lebih tinggi berbanding normal.

Oleh itu, ibu bapa mesti membawa kanak-kanak untuk menjalani pemeriksaan mata dengan Optometris setiap tahun bagi memastikan penglihatan mereka berada pada tahap optimum dan tidak menjejaskan pencapaian akademik serta keyakinan diri kanak-kanak semasa menjalani pembelajaran di sekolah.

Antara faktor risiko yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kuasa miopia adalah tabiat membaca atau menggunakan gajet secara berlebihan tanpa rehat terutama pada jarak dekat (kurang dari 30 sentimeter (cm).

Tabiat ini menyebabkan otot mata kurang berehat dan seterusnya merangsang peningkatan kuasa miopia dengan cepat.

Ini dibuktikan dengan peningkatan peratusan miopia sebanyak tiga kali ganda dalam kalangan kanak-kanak selepas wabak Covid-19 melanda dunia berbanding sebelumnya, akibat gemar menggunakan gajet secara berlebihan untuk tujuan pembelajaran dan bermain.

Foto: Canva
Foto: Canva

Selain itu, kurang masa bermain di luar rumah atau di padang permainan turut menjadi faktor peningkatan kuasa miopia.

Apabila berada di luar rumah, otot mata tidak lagi memfokus kepada tulisan kecil yang terdapat pada buku atau gajet.

Sebaliknya otot mata lebih berehat apabila melihat jauh dan ini membantu melewatkan perkembangan miopia.

Oleh itu, selain dari menjalani pemeriksaan mata, ibu bapa disarankan untuk mengubah gaya hidup kanak-kanak miop.

Penggunaan gajet mesti dihadkan antara dua jam sehari dan kanak-kanak mesti digalakkan bermain dan beriadah sekurang-kurangnya 1.5 jam sehari untuk melewatkan perkembangan miopia.

Pastikan pencahayaan mencukupi dan elakkan kanak-kanak dari memegang buku atau menggunakan gajet pada jarak yang terlalu dekat dengan mata (kurang dari 30 cm).

Terdapat pelbagai jenis rawatan seperti priskripsi kanta kaca mata dan kanta lekap khas serta teknik ortokeratologi yang boleh dicadangkan oleh Optometris untuk mengawal perkembangan miopia kanak-kanak.

Namun, pemahaman serta komitmen yang tinggi dari ibu bapa merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan rawatan kawalan miopia kanak-kanak dan mengurangkan risiko hilang penglihatan di masa hadapan.

Maklumat penulis:

Profesor Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Presiden Pertubuhan Akademi Optometri Malaysia (PAOM), Profesor Dr Bariah Mohd Ali

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp