Untitled (52)
Untitled (52)

Aktiviti berbasikal UMP didik gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus

Nor Azma  Muhamat Laila
23 Nov 2021 04:53pm
A
A
A

PEKAN - Dalam usaha memberi pendedahan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, Program Santai Berbasikal Bersama Keluarga Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan dan Pejabat Naib Canselor UMP diadakan di sini, baru-baru ini.

Program yang diadakan menjelang sambutan ke-20 UMP ini juga sebagai amalan terbaik dalam usaha menyokong agenda  penghijauan kampus sekali gus berjaya mengeratkan hubungan erat warga universiti.

Kayuhan diketuai oleh Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP bersama pengurusan tertinggi UMP.

Program disertai seramai 120 peserta dalam kalangan staf dan keluarga.

Program bermula dari dataran Pusat Aktiviti Pelajar menuju ke Pusat Rekreasi Air dan Rimba Lestari UMP serta sekitar kampus berkonsepkan 'treasure hunt'.

Aktiviti kayuhan kali ini juga berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida sebanyak 1120kgCO2.

Menurut Prof Yuserrie, amalan teknologi hijau ini juga dapat meminimumkan degradasi terhadap alam sekitar, memulihara tenaga dan sumber semula jadi serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Selain itu, program beriadah bersama keluarga ini memberi peluang warga UMP menikmati keindahan kampus. Aktiviti dilaksanakan dengan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Ujar beliau, objektif utama program bukan sahaja aktiviti berbasikal namun yang lebih utama mewujudkan semangat kekitaan dalam keluarga UMP.

Kayuhan secara santai itu pasti meninggalkan pengalaman menggembirakan, selain dapat menikmati keindahan dan kedamaian suasana kehijauan kampus.

Lebih bermakna hasil penyertaan yuran program ini akan disumbangkan kepada Yayasan UMP dalam usaha membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Turut berlangsung pelepasan ikan sebagai pembangunan dan pengkayaan sumber serta habitat juga pemantauan ekosistem di tasik UMP.

Program mendapat kerjasama daripada Bahagian Keselamatan, Pusat Kesihatan UMP, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan jabatan lain.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok