Peserta akan diadili oleh juri profesional. Gambar kecil: Mohd Ridzuan.
Peserta akan diadili oleh juri profesional. Gambar kecil: Mohd Ridzuan.

Platun melangkah, pemimpin dilahirkan!

Karnival Siang Malam cipta ruang pelajar menyerlah dalam kawad asas

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
10 Jul 2025 08:00am

Dataran Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam bakal menjadi tumpuan apabila pasukan pelajar sekolah menengah dari seluruh Lembah Klang berentap dalam Pertandingan Kawad Kaki Asas sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang dijadual berlangsung pada 25 Julai ini.

Pertandingan anjuran Sinar Harian ini bukan sekadar pentas perbarisan beruniform, sebaliknya medan membina jati diri, semangat berpasukan dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar. Dengan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang, pertandingan berkenaan dijangka mencipta suasana penuh disiplin, patriotisme dan kebanggaan terhadap pasukan masing-masing.

Platform latih kepimpinan, cungkil bakat pelajar

Penyelaras program, Mohd Ridzuan Abu Hassan berkata, pertandingan ini menilai bukan hanya aspek teknikal kawad seperti kekemasan formasi dan ketepatan gerakan tetapi turut memberi penekanan kepada nilai-nilai seperti kerjasama, strategi dan kepimpinan pelajar dalam mengendalikan pasukan masing-masing.

"Kita percaya latihan kawad yang tersusun mampu membentuk pelajar berani, yakin diri, berdisiplin dan memiliki ketahanan fizikal serta mental yang tinggi.

"Pertandingan ini juga menjadi platform terbaik mencungkil bakat muda dalam arena badan beruniform. Ia membuka ruang kepada pelajar menunjukkan kemahiran kepimpinan dalam suasana kompetitif yang sihat serta menjalin hubungan baik antara sekolah.

"Lebih daripada sekadar pertandingan, inisiatif ini dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina generasi muda yang berkualiti bukan sahaja dari segi akademik, malah kuat sahsiah, semangat berpasukan dan kebolehan memimpin. Ia adalah sebahagian daripada usaha membentuk pelajar yang bukan sekadar mengikut arahan, tetapi mampu berdiri sebagai pemimpin masa hadapan," kata Mohd Ridzuan yang juga merupakan Content Strategy and Media Planner Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Beliau juga berkata, kehadiran guru-guru pengiring dan sokongan daripada rakan-rakan sekolah turut menyemarakkan semangat dan perpaduan.

Sementara itu, hadiah menarik turut ditawarkan kepada pemenang termasuk wang tunai RM500 untuk johan, RM300 untuk naib johan dan RM200 bagi tempat ketiga selain trofi, hamper dan sijil penyertaan.

"Tempat keempat dan kelima pula akan menerima hadiah saguhati sebagai penghargaan atas penyertaan dan usaha gigih. Kesemua peserta turut menerima e-Sijil Kehadiran sebagai bukti penglibatan rasmi dalam acara ini," katanya.

Pendaftaran masih dibuka dan sekolah yang berminat boleh mendaftar melalui imbasan kod QR atau menghubungi talian hotline yang tertera. Ayuh, sertai rentak kawad penuh semangat dan buktikan bahawa pelajar Malaysia mampu melangkah gagah dengan disiplin dan gaya tersendiri!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp