KPM akan terus berkolaborasi dengan KKM untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan para pelajar.
KPM akan terus berkolaborasi dengan KKM untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan para pelajar.

Aktiviti luar bilik darjah ditangguh andai El Nino bertambah buruk

11 Mar 2024 01:51pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah sekiranya fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini bertambah buruk.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya tidak mahu sebarang perkara di luar jangkauan berlaku terutama membabitkan kesihatan para pelajar.

"Buat masa ini, KPM akan terus berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan para pelajar ini.

"Kita juga akan keluarkan garis panduan dari semasa ke semasa kepada pihak sekolah bergantung kepada keperluan keadaan. Apa-apa pun keutamaan adalah kepada kebajikan dan kesihatan anak-anak," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tanjung Rambutan di sini, pada Isnin.

Wong Kah (tengah) bergambar bersama murid-murid ketika hadir meninjau hari pertama pembukaan sekolah sesi 2024/2025 di SJKT Tanjung Rambutan, Perak pada Isnin.
Wong Kah (tengah) bergambar bersama murid-murid ketika hadir meninjau hari pertama pembukaan sekolah sesi 2024/2025 di SJKT Tanjung Rambutan, Perak pada Isnin.

Pada 4 Februari lepas, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta supaya guru dan ibu bapa memantau keadaan anak mereka ketika berdepan cuaca panas akibat El Nino.

Fadhlina turut menjelaskan KPM mempunyai garis panduan berkaitan fenomena cuaca yang digunakan bagi memberikan peringatan dan nasihat mengikut keadaan semasa di peringkat sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kah Woh berkata, meskipun terdapat aduan berhubung Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dilaporkan kepada KPM namun kesemuanya dapat diselesaikan.

"Antara aduan yang diterima terarah kepada isu teknikal sebagai contoh seperti isu pertukaran sekolah. Bagaimanapun perkara itu dapat diselesaikan sebaiknya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya meminta supaya mana-mana individu atau penjaga yang masih tidak menerima BAP supaya membuat aduan kepada KPM atau pihak sekolah.

"Berkaitan isu BAP ini, saya nasihatkan supaya ibu bapa boleh bangkitkan kepada sekolah serta pihak KPM. KPM sendiri sedia membantu dan akan pastikan bantuan berkenaan sampai kepada mereka," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok