Aktiviti luar bilik darjah hanya dibenarkan sekiranya suhu pada hari berkenaan berada di bawah 35 darjah Celcius. Gambar kecil: Jelani.
Aktiviti luar bilik darjah hanya dibenarkan sekiranya suhu pada hari berkenaan berada di bawah 35 darjah Celcius. Gambar kecil: Jelani.

Aktiviti luar bilik darjah selepas jam 5 petang - JPNT

NORHASPIDA YATIM
23 Apr 2024 04:11pm
A
A
A

Pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah di semua sekolah di Terengganu termasuk kegiatan sukan merentas desa hanya dibenarkan selepas jam 5 petang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, aktiviti tersebut juga hanya dibenarkan sekiranya suhu pada hari berkenaan berada di bawah 35 darjah Celcius.

Menurutnya, garis panduan itu diambil bagi menjaga keselamatan dan kesihatan murid berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang masih melanda negara ketika ini.

"Sebelum ini kita telah mengeluarkan arahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya menangguhkan semua aktiviti luar luar bilik darjah kerana keadaan cuaca panas yang melampau ketika ini.

"Keputusan itu diambil selaras dengan garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan keselamatan murid serta mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti strok haba.

"Bagaimanapun, aktiviti luar bilik darjah dibenarkan sekiranya ia dilakukan selepas jam 5 petang dan suhu harian di bawah 35 darjah Celcius," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Jelani berkata, pihaknya sentiasa memantau semua aktiviti yang diadakan pihak sekolah agar selari dengan pekeliling dikeluarkan KPM.

Katanya, sebarang pelanggaran terhadap panduan yang dikeluarkan itu perlu dilaporkan kepada JPNT dan pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengalu-alukan sebarang aduan daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa sekiranya ada sekolah yang tidak mematuhi peraturan ini untuk kita menyiasat secara terperinci," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Ahad mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu iaitu berjaga-jaga di lapan kawasan Semenanjung dan dua lagi di Sabah serta Sarawak setakat jam 4.30 petang.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, lapan kawasan di Semenanjung itu ialah Hulu Perak, Perak; Besut, Terengganu; Pendang dan Baling, Kedah; Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah serta Pasir Mas, Kelantan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok