
'Alam dan Manusia' bentuk murid lebih peka
Mulai tahun 2027, murid Tahap 1 di seluruh negara akan belajar satu subjek baharu yang dinamakan Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu.
Subjek ini diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang bertujuan menjadikan pembelajaran di sekolah lebih seronok, kreatif dan menyeluruh.
Difahamkan, Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu bukan subjek biasa.
Ia menggabungkan pelbagai bidang ilmu termasuk sains, pendidikan kesihatan, muzik, seni visual, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta digital.
Melalui gabungan ini, murid bukan saja belajar teori tetapi juga melihat kaitan ilmu dengan kehidupan seharian.
Selain kandungan yang menarik, kelebihan lain subjek ini adalah beban murid dapat dikurangkan dengan ketara.
Daripada sebelum ini terpaksa membawa empat buku berasingan untuk sains, pendidikan kesihatan, seni visual dan muzik, kini mereka hanya perlu fokus pada satu buku sahaja yang merangkumi semua aspek tersebut.
Ini bukan sahaja memudahkan murid, malah dapat mengurangkan tekanan harian mereka.
Bagi guru pula, pendekatan ini memberi ruang untuk menumpukan tenaga, masa dan idea pada satu subjek yang merangkumi pelbagai bidang ilmu.
Mereka boleh merancang aktiviti pembelajaran yang lebih kreatif, menyeronokkan dan interaktif, seperti menggabungkan eksperimen sains dengan seni, muzik dan aktiviti digital sekali gus membantu murid memahami konsep dengan lebih mudah dan menyeronokkan.
Dengan cara ini, kelas menjadi lebih hidup, murid lebih fokus dan proses belajar mengajar dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Menerusi pengumuman KPM ini, pelbagai reaksi positif diterima daripada ramai pihak, termasuk ibu bapa dan guru.
Majoritinya melihat langkah berkenaan sebagai satu perubahan yang segar dalam pendidikan, di mana pembelajaran tidak lagi terbatas kepada hafalan dan teori semata-mata.
Mereka percaya bahawa murid zaman sekarang perlukan pengalaman belajar yang lebih bersepadu, menyeronokkan dan relevan dengan kehidupan seharian.
Namun, ada juga yang tertanya- tanya, adakah Alam dan Manusia ini benar-benar baharu atau cuma penjenamaan semula subjek lama?
Maklumlah, nama ini bukan asing. Dulu sekitar tahun 90-an, memang ada subjek Alam dan Manusia untuk murid Tahun 4 hingga Tahun 6. Jadi, bila nama itu kembali, ramai yang rasa "seperti dah pernah nampak sebelum ini".
Susulan pengumuman subjek baharu itu, KPM turut memperkenalkan satu kaedah pengajaran berpasukan atau co-teaching, di mana dua guru akan mengajar dalam satu kelas secara serentak.
Kedengaran luar biasa, tapi sebenarnya sangat menarik dan memberi banyak manfaat.
Dengan kaedah ini, kedua-dua guru boleh berganding bahu, saling melengkapkan kemahiran dan idea masing-masing.
Murid pula akan lebih terlibat, aktif dan fokus kerana sesi pengajaran menjadi lebih interaktif, bertenaga dan menyeronokkan.
Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan guru mengurus kelas tetapi juga menjadikan pembelajaran lebih hidup, pelbagai dan mudah difahami oleh semua murid.
Secara keseluruhannya, pengenalan Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu ini menunjukkan KPM serius mahu membentuk sistem pendidikan yang lebih moden dan menyeronokkan.
Dengan pendekatan baharu ini, kita harap murid bukan saja pandai di atas kertas tetapi juga lebih peka terhadap alam, bijak berfikir dan berani mencuba.
Siapa tahu, mungkin dari kelas Alam dan Manusia inilah nanti akan lahir generasi muda yang mencipta perubahan yang bukan sekadar pandai menjawab soalan, tetapi pandai menghargai kehidupan dan dunia sekeliling mereka.
Ringkasan AI
- Mulai tahun 2027, murid Tahap 1 akan belajar subjek baru Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu
- Subjek ini menggabungkan ilmu sains, pendidikan kesihatan, muzik, seni visual, TVET serta digital
- Pengenalan subjek ini bertujuan menjadikan pembelajaran lebih seronok, kreatif dan menyeluruh
- Pendekatan pengajaran dan pembelajaran baru ini memudahkan murid dengan mengurangkan beban buku teks
- Kementerian Pendidikan Malaysia menerapkan kaedah co-teaching dimana dua guru akan mengajar dalam satu kelas serentak
