Antara aktiviti yang dijalankan di reruai PSH sempena Putrajaya FOI 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 4 hingga 8 November lepas.
Antara aktiviti yang dijalankan di reruai PSH sempena Putrajaya FOI 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 4 hingga 8 November lepas.

Kolej komuniti perkasa Program Pembelajaran Sepanjang Hayat

MOHD AZLIM ZAINURYMOHD AZLIM ZAINURY
14 Nov 2025 12:29pm

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus menjadi platform penting dalam memperkasa pengetahuan dan kemahiran rakyat di seluruh negara.

Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Wan Marina Wan Mohd Nowalid berkata, program PSH yang mula dilaksanakan sejak tahun 2002, kini mencatatkan sebanyak 4,109,398 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat sehingga Oktober 2025.

"Jumlah penyertaan ini adalah hasil daripada penganjuran 197,167 program PSH meliputi 22 bidang kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijalankan di 106 buah kolej komuniti di seluruh negara," ujarnya.

Menurut beliau, antara bidang paling mendapat sambutan ialah katering dan sajian, komputer dan teknologi maklumat, perniagaan dan keusahawanan, teknologi elektrik serta kulinari dan pastri.

"Sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat membuktikan PSH berada pada landasan tepat dalam memperkasa ilmu, kemahiran dan kompetensi rakyat sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka," ujarnya.

Wan Marina menjelaskan, PSH merupakan kursus pendek yang dibangunkan dengan konsep fleksibel berasaskan anyone (sesiapa sahaja), anywhere (di mana-mana) dan anytime (pada bila-bila masa), yang memberi peluang kepada semua rakyat tanpa mengira umur, kaum atau latar belakang ekonomi dan pendidikan menyertai PSH.

Beliau berkata, program itu juga memberi tumpuan kepada enam kumpulan fokus utama iaitu belia, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), golongan B40 dan masyarakat Orang Asli.

"Selain itu, penyertaan pelajar tahfiz, sekolah pondok, suri rumah serta kakitangan awam juga amat digalakkan sebagai nilai tambah dalam bidang TVET," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Wan Marina berkata, program PSH boleh diadakan pada hari bekerja atau hujung minggu mengikut persetujuan antara pihak kolej komuniti dan peserta, manakala kadar bayaran kursus pula ditetapkan berdasarkan bidang serta tempoh yang diikuti dengan bayaran berpatutan.

"Melangkah ke hadapan, PSH pada tahun ini diperkasakan lagi melalui pelaksanaan Micro-Credentials (MC) atau pentauliahan mikro yang membolehkan komuniti melanjutkan pengajian melalui laluan Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL),” jelasnya.

Beliau berkata, inisiatif itu turut membuka akses pendidikan kepada komuniti yang kurang atau tiada syarat kelayakan bagi menyambung pengajian melalui pentauliahan mikro yang dapat meningkatkan kelayakan akademik.

"Sebagai contoh, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak layak mengikuti program pengajian sepenuh masa boleh mengikuti PSH melalui laluan pentauliahan mikro ini," ujarnya.

Tambahnya, usaha itu selaras dengan hasrat KPT untuk memperkasa peranan kolej komuniti sebagai institusi TVET terbaik dalam memberi peluang kedua kepada masyarakat.

 

 

Ringkasan AI

  • Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dibawah KPT mendukung peningkatan ilmu dan kemahiran di Malaysia
  • Sejak 2002, program ini menarik 4,109,398 penyertaan melalui 197,167 program di 22 bidang kemahiran
  • Bidang paling popular termasuk katering, IT, perniagaan, teknologi elektrik, kulinari dan pastri
  • PSH menyasar semua rakyat termasuk pelbagai kumpulan fokus seperti belia, warga emas, dan golongan B40
  • Pengenalan Micro-Credentials dalam PSH membolehkan pengiktirafan kemahiran melalui pengalaman pembelajaran terdahulu
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp