
Tidak pinjam PTPTN, anak yatim jual 'chocojar' untuk tambah duit belajar kini graduan!
Bagi Siti Hanisah Rizal, setiap balang chocojar yang dijual bukan sekadar sumber rezeki tetapi simbol semangat dan ketabahan seorang anak yatim yang tidak pernah berhenti berharap.
Tanpa pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahupun bantuan tetap, gadis berusia 24 tahun ini memulakan perniagaan kecil-kecilan ketika masih bergelar mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), semata-mata menampung perbelanjaan hidup dan pengajian.
“Saya mula berniaga sejak semester empat. Masa itu, cuma jual mi segera dan ramen. Lama-kelamaan cuba sesuatu yang lebih baik, jadi saya buat chocojar. Dari dapur asrama yang kecil, saya belajar tentang rezeki, kesabaran dan usaha,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen baru-baru ini.
Anak kepada pasangan Allahyarham Rizal Mulot dan Allahyarhamah Maimon Adam ini, membesar dalam suasana penuh ujian selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat kanser pada tahun 2018 dan 2020.
Kini, beliau menjadi tempat bergantung tiga adik, Nur Najiah Raihana, 21; Muhammad Adam Muqriz, 19 dan Siti Rawdah Hanim 17 yang dijaga oleh saudara terdekat selepas pemergian ibu bapa tercinta.
Namun bagi Hanisah, ujian itu bukan penghalang, sebaliknya pembakar semangat untuk terus berjuang.
“Bidang saya ialah Pengurusan Risiko dan Insurans. Dari situ, saya belajar bahawa hidup ini sendiri adalah satu pengurusan risiko. Kita rancang tetapi ALLAH juga yang menentukan segalanya,” katanya dengan senyuman yang menyorok seribu kisah.
Sepanjang berada di kampus, Hanisah bukan hanya pelajar yang tekun tetapi juga pemimpin muda yang disenangi ramai. Beliau pernah memegang jawatan naib presiden kelab akademik, selain aktif dalam program khidmat masyarakat termasuk melawat rumah anak yatim sekali gus menjadi pengalaman yang sangat dekat di hatinya.
Kini, sebaik bergelar graduan, Hanisah melangkah ke dunia profesional sebagai ejen takaful sepenuh masa di Prudential BSN Southkey, Johor Bahru, dengan cita-cita mahu membantu orang lain memahami pentingnya perlindungan dan perancangan masa depan.
Kisah Hanisah mengingatkan kita bahawa setiap kesusahan menyimpan peluang untuk bangkit. Dengan doa, air mata dan kesungguhan, beliau membuktikan bahawa kehilangan bukan noktah, tetapi permulaan kepada kekuatan baharu.
Pada Majlis Konvokesyen UUM ke-38, Hanisah menerima ijazahnya dengan penuh rasa syukur daripada Pro-Canselor, Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah di Dewan Mu’adzam Shah, menandakan penutup sebuah perjalanan yang penuh air mata dan tekad.
Ringkasan AI
- Bagi Siti Hanisah Rizal, setiap balang chocojar yang dijual adalah simbol semangat dan ketabahan seorang anak yatim
- Tanpa bantuan kewangan seperti pinjaman PTPTN, Siti Hanisah memulakan perniagaan ketika masih belajar di Universiti Utara Malaysia untuk menampung perbelanjaan hidup dan pengajian
- Membesarkan tiga adik selepas kematian kedua ibu bapa akibat kanser, membuat ujian itu sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang
- Siti Hanisah, yang belajar dalam bidang Pengurusan Risiko dan Insurans, melihat hidup sebagai pengurusan risiko dan menerima bahawa segala perancangan tetap di tangan ALLAH
- Sekarang, selepas menamatkan pengajian, Siti Hanisah bekerja sebagai ejen takaful sepenuh masa dan berhasrat membantu orang ramai memahami pentingnya perlindungan dan perancangan masa depan
