asm2
asm2

Atlet silat dan taekwondo UMK menang Anugerah Atlet Terbaik Universiti MASUM 2019

Nor Azma  Muhamat Laila
17 Feb 2022 02:19pm
A
A
A

BACHOK - Atlet silat dan taekwondo Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memenangi Anugerah Atlet Terbaik Universiti pada Majlis Anugerah Sukan MASUM (ASM) 2019 anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), baru-baru ini.

Abdul Hafiz Kamadin, 25, pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) yang mewakili pasukan silat dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Terbaik Universiti Lelaki manakala Ching Sin Yee, 25, pelajar Fakulti Sains Bumi (FSB) turut memenangi anugerah sama bagi kategori wanita yang mewakili pasukan Taekwondo UMK.

Masing-masing membawa pulang plak anugerah, piala dan sijil yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Profesor Dr Razli Che Razak; Pengarah Pusat Sukan UMK, Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib serta Pegawai Belia dan Sukan UMK, Mohd Ramdan Mohd Shafian.

Menurut Wan Ahmad Khairul, sepanjang penglibatan, Abdul Hafiz pernah memenangi pingat perak pada Karnival Sukan MASUM Fasa 1 yang berlangsung di UMK.

Beliau juga pernah memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke – 8, 2017 dan Karnival Sukan MASUM Fasa 1, tahun 2018.

Sementara itu, Chin Shing Yee pula mencatatkan pencapaian terbaik dengan memenangi pingat emas pada Karnival Sukan MASUM UMK 2019 dan pingat gangsa dalam Kejohanan Taekwondo Jemputan Universiti Multimedia (MMU) 2017 dan pingat perak bagi Karnival Sukan MASUM Fasa 1, 2018.

Majlis ASM 2019 telah membuka semula tirai kejohanan MASUM iaitu melibatkan atlet universiti awam (UA) termasuk UMK untuk menyertai acara sukan pada tahun 2022 seperti yang telah dijadualkan setelah dua tahun tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok