
'Baby dah berusaha sebaiknya, yang lain serah pada ALLAH ya' - Abby Abadi titip doa buat Maria Danisha sempena SPM 2025
Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memasuki hari kedua pada Rabu.
Menurut jadual waktu peperiksaan, calon menduduki tiga kertas hari ini iaitu Bahasa Inggeris Kertas 1, Bahasa Inggeris Kertas 2 serta Tasawwur Islam.
Sepanjang tempoh SPM berlangsung, ibu bapa pastinya individu yang paling berdebar menantikan perjalanan peperiksaan anak-anak.
Pelbagai kata-kata semangat, doa dan pesanan motivasi diberikan agar urusan mereka dipermudahkan.
Selebriti popular, Abby Abadi turut tidak terkecuali menitipkan doa buat anak ketiganya, Maria Danisha Hakim, 17 tahun, yang kini 'berjuang' di medan peperiksaan.
Menerusi hantaran dimuat naik di Threads, Abby berkongsi rasa syukur, harapan dan doa agar anaknya diberi ketenangan, kefahaman dan kemudahan menjawab setiap kertas yang diduduki.

"Semoga success dunia akhirat ya @m_danishaa.
"Sebelum-sebelum ini dah start dah SPM nya, tapi hari ni bertulis. Insya-ALLAH. Baby dah berusaha sebaiknya, yang lain serah pada ALLAH ya. Baca doa agar ALLAH mudahkan dan lancarkan urusan untuk menjawab soalan-soalan SPM hari ini ok Baby. Mama sayang Baby. Baby yang cantik, yang baik.
"Untuk anak-anak yang menduduki SPM juga, selamat berkat ya. Doa minta pada ALLAH untuk tenangkan hati menjawab kertas-kertas SPM ini. Amin," kongsinya di akaun abbyabadi_112 pada Selasa.
Sementara itu, bapa Maria Danisha iaitu Norman Hakim, turut menitipkan doa dan kata semangat buat anaknya menerusi hantaran di Instagram (IG) sebagai sokongan penuh seorang ayah menjelang detik penting peperiksaan tersebut.
"Bismillahirrahmanirrahim...
"Allahumma Ya Alim Ya Hakim Ya Roshid, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memiliki Ilmu, Maha Bijaksana dan Maha Cerdas.
"Kurniakanlah kepada anak-anak SPM 2025 di seluruh Malaysia keberkatan dan kefahaman terhadap ilmu yang mereka pelajari, kebijaksanaan dalam menjawab setiap soalan dengan betul dan kecerdasan dalam menyelesaikan kertas peperiksaan mengikut waktu yang ditetapkan.

"Allahumma Ya Baasit Yang Maha Melapangkan, lapangkan dada anak-anak kami Ya ALLAH, agar mereka tenang ketika di dewan peperiksaan dan jelas ketika melihat soalan.
"Allahumma Ya Salam Ya Mu’min, Yang Maha memberi keamanan dan kesejahteraan, berikanlah kesihatan yang sempurna dan keamanan sepanjang tempoh ini.
"Allahumma Ya Mani’ (Yang Maha Mencegah), cegahlah mereka daripada penyakit lupa, lalai, cuai, was-was, resah gelisah, lemah semangat dan ketakutan yang berlebihan.
"Allahumma Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin Ya ALLAH Yang Maha Perkasa, Maha Kuat dan Maha Teguh. Kurniakan kekuatan kepada jiwa, minda, mata telinga dan seluruh jasad mereka dalam mengharungi ujian dan cabaran peperiksaan ini.
"Allahumma Ya Quddus Ya Jalil, Yang Maha Suci dan Maha Jernih, bersihkan dan jernihkan hati dan fikiran mereka daripada bisikan syaitan dan nafsu yang melemahkan semangat mereka.
"Ya Rahman Ya Rahim Ya Ro’uf Ya Karim, jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk mereka dan kami menjadi hambaMu dan khalifahMu di bumi, semoga dengan kecemerlangan peperiksaan ini membawa mereka dan kami lebih hampir kepadaMu," tulisnya pada Selasa.
Ringkasan AI
- Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memasuki hari kedua
- Calon menduduki tiga kertas hari ini iaitu Bahasa Inggeris Kertas 1, Bahasa Inggeris Kertas 2 serta Tasawwur Islam
- Ibu bapa memberikan kata-kata semangat dan doa kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan
- Selebriti Abby Abadi menitipkan doa dan harapan untuk anak ketiganya, Maria Danisha Hakim, yang menduduki SPM
- Norman Hakim, bapa Maria, juga menitipkan doa dan kata semangat untuk anak-anak SPM seluruh Malaysia melalui Instagram
