Mohamad Farid Haikal (kiri) dengan kaki berbalut manakala Mohd Izham Ruzaimi (tengah) yang bertongkat hadir bagi menduduki SPM pada Selasa.
Mohamad Farid Haikal (kiri) dengan kaki berbalut manakala Mohd Izham Ruzaimi (tengah) yang bertongkat hadir bagi menduduki SPM pada Selasa.

Kaki berjahit, paha patah tidak patahkan semangat dua calon SPM duduki peperiksaan

ADILA SHARINNI WAHIDADILA SHARINNI WAHID
26 Nov 2025 01:31pm

Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kelantan hadir menduduki peperiksaan pada Selasa dalam keadaan kaki luka dan menerima tujuh jahitan akibat tergelincir di rumah yang dinaiki banjir.

Mohamad Farid Haikal Abdullah, 17, dari Paya Senang, Telipot berkata, keadaan banjir sedalam 0.3 meter di pekarangan rumahnya sejak awal minggu lalu menyebabkan laluan masuk ke rumahnya menjadi licin sehingga dia tergelincir Sabtu lalu.

"Rumah saya rumah papan, basah dan licin, saya terjatuh serta luka terbelah panjang di bahagian bawah tapak kaki hingga ibu jari.

"Sehari tak dapat sekolah, masih sakit tapi saya tak mahu terlepas hari pertama SPM hari ini,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail pada Selasa.

Dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat kecederaan itu.

Mohamad Farid dihantar ibunya, Siti Nur Hidayah Ishak, 35, yang bekerja sebagai juruwang ke sekolah bagi memastikan dia menduduki peperiksaan itu meskipun keadaan bahagian dapur rumah masih digenangi air.

"Saya harap dapat jawab soalan Bahasa Melayu dengan baik dan sakit ini tak mengganggu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon, Mohd Izham Ruzaimi Zakaria, 17, hadir ke peperiksaan tersebut dalam keadaan patah paha kanan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal terbabas pada Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Izham Ruzaimi, anak bongsu daripada lima beradik, terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak ke dewan sekolah dengan dibantu beberapa rakan.

Sejak kejadian, dia tidak dapat bersekolah hampir dua bulan, menyebabkan banyak ulang kaji pelajaran dilakukan dari rumah menggunakan bahan rujukan dan video di TikTok

"Memang gugup nak masuk peperiksaan sebab lama tak hadir kelas, tapi saya cuba yang terbaik.

"Saya tak mahu kecederaan jadi alasan untuk gagal," katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam latihan kemahiran pengimpalan.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang calon SPM hadir peperiksaan dengan kaki luka terima tujuh jahitan akibat tergelincir di rumah banjir
  • Mohamad Farid Haikal Abdullah, 17 tahun dari Telipot tergelincir di rumahnya yang dinaiki banjir
  • Dia terjatuh karena lantai rumah papan yang basah dan licin sehingga luka terbelah di kaki
  • Walaupun masih sakit, berazam tidak mahu terlepas peperiksaan SPM
  • Calon lain, Mohd Izham Ruzaimi Zakaria hadir peperiksaan dengan keadaan patah paha akibat kemalangan motosikal
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp