Mohd Arifin (tengah) bersama para penerima bantuan cermin mata TPNS di Menara Kinabalu pada Selasa.
Mohd Arifin (tengah) bersama para penerima bantuan cermin mata TPNS di Menara Kinabalu pada Selasa.

Bantuan cermin mata kerajaan Sabah bantu pelajar lebih fokus pelajaran

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
23 Oct 2024 09:23am

Mengalami rabun jauh atau miopia yang teruk sejak kecil selain silau menyebabkan pelajar Tingkatan Lima di Kota Kinabalu, Sabah berdepan masalah ketika mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolahnya.

Disebabkan masalah dihadapi, Nurul Ain Hazikah Jasmin, 17, terpaksa menggunakan cermin mata berkuasa tinggi untuk lebih fokus memandangkan tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun Nurul Ain Hazikah berkata, cermin mata yang dipakainya kini sudah berusia tiga tahun dan sudah tentu tahap kuasanya mungkin berubah.

"Saya menggunakan cermin mata sejak di Tahun Satu lagi kerana mengalami masalah rabun jauh dan silau.

"Cermin mata yang sekarang digunakan sejak di Tingkatan Tiga dan saya memang bergantung sepenuhnya dengan cermin mata ketika belajar serta dalam aktiviti seharian kerana tahap rabun yang tinggi.

"Jadi dengan cermin mata sebagai mata kedualah saya dapat melihat dengan jelas tulisan di papan tulis," katanya kepada Sinar Bestari pada Selasa.

Nurul Ain Hazikah (dua dari kiri) gembira apabila terpilih sebagai penerima cermin mata sekali gus dapat membantunya fokus dalam pembelajaran.
Nurul Ain Hazikah (dua dari kiri) gembira apabila terpilih sebagai penerima cermin mata sekali gus dapat membantunya fokus dalam pembelajaran.

Nurul Ain Hazikah yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmadshah, ditemui selepas menerima bantuan cermin mata bertemakan Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), Life In My Eyes di Menara Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut anak pertama daripada tiga beradik itu, dia sudah lama tidak menukar cermin matanya dan tidak berhasrat untuk membebankan ibu bapanya.

"Bapa saya hanya seorang tukang kayu manakala ibu suri rumah dan saya mempunyai dua lagi adik yang masih kecil. Jadi saya tidak mahu membebankan mereka dengan meminta cermin mata baharu.

"Tetapi, alhamdulillah, saya antara beberapa pelajar yang terpilih untuk menerima bantuan cermin mata daripada kerajaan negeri," kata pelajar ini.

Seorang lagi rakannya, Rabiatul Hamani Rahman, 17, yang mengalami masalah silau yang tinggi berterima kasih kepada kerajaan Sabah kerana prihatin terhadap keperluan pelajar termasuk cermin mata.

"Saya hanya menyedari mata mengalami masalah silau ketika di dalam kelas apabila ustazah mengajar menggunakan skrin LCD (paparan kristal cecair) saya tidak nampak.

"Disebabkan pada tahun ini juga saya akan menghadapi SPM, jadi alat bantuan seperti cermin mata memang diperlukan dan saya bersyukur kerana terpilih mendapatkan bantuan ini," kata anak ketiga daripada tujuh beradik.

Sementara itu, Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, TPNS telah menyalurkan dana untuk lebih 4,000 pelajar yang memerlukan cermin mata di negeri ini.

"Fasa pertama kita telah meluluskan lebih 2,000 pelajar yang memerlukan bantuan cermin mata di mana satu cermin mata memerlukan kos kira-kira RM200 dan keseluruhan kos adalah RM400,000," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp