Chee Kean berharap, bakat kedua-dua anaknya itu bakal menjadi pemangkin kepada kejayaan mewakili skuad bola sepak negeri Selangor iaitu tempat kelahiran mereka.
Chee Kean berharap, bakat kedua-dua anaknya itu bakal menjadi pemangkin kepada kejayaan mewakili skuad bola sepak negeri Selangor iaitu tempat kelahiran mereka.

Bapa pupuk minat bola sepak dalam diri anak sejak usia masih hijau

18 Jun 2024 02:46pm
A
A
A

Lumrah seorang bapa pastinya mahukan terbaik buat anak mereka seawal usia muda dalam apa jua bidang diceburi dan ia tidak ketinggalan bagi Ng Chee Kean apabila turut sama meluangkan masa melatih dua anak lelaki Ng Ho Race, 8, dan Ng Ho Wie, 9, dengan bola sepak.

Chee Kean, 45, berkata, beliau mula memberi pendedahan tentang sukan bola sepak kepada kedua-dua anaknya ketika berusia empat dan lima tahun sejak seluruh negara dilanda Covid-19 pada tahun 2020 sebagai mengisi masa terluang biarpun tidak mempunyai sebarang ilmu.

"Biasalah semasa mereka kecil, ibu-bapa akan libatkan dengan aktiviti dan bola sepak sering menjadi pilihan.

"Saya bukanlah bekas pemain tapi banyak bertanya kepada ramai orang berpengalaman termasuk daripada beberapa akademi bola sepak cara melatih kedua-dua anak saya," katanya ketika dihubungi sempena sambutan Hari Bapa.

Chee Kean yang berasal dari Puchong, Selangor, berkata, beliau menghabiskan lebih RM1,000 setiap bulan untuk melatih Ho Race dan Ho Wie selain turut menghantar mereka ke Sekolah Bola Sepak Selangor FC bagi tujuan mengasah bakat.

"Mereka dalam masa sama dilatih sekurang-kurangnya satu jam setiap hari selepas pulang dari sekolah pada waktu petang dengan saya," katanya.

Beliau dalam masa sama berharap, bakat kedua-dua anaknya itu bakal menjadi pemangkin kepada kejayaan mewakili skuad bola sepak negeri Selangor iaitu tempat kelahiran mereka.

"Mereka masih kecil tapi sudah tentu harapan saya untuk mereka mewakili negeri mereka ataupun skuad negara pada satu hari nanti," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok