5
5

Barber Shop di SMK Bukit Payong! Sekolah pertama di Malaysia sediakan khidmat gunting rambut

Roshlawaty Md Raieh
08 Jan 2022 11:02pm
A
A
A

Projek PSS Barber Shop bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Kedah, merupakan satu inovasi kolaboratif bersama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) yang berupaya membangunkan personaliti dan kemahiran pelajar dalam menghadapi cabaran Abad Ke-21.

Guru Cemerlang Bahasa Melayu yang juga Penyelaras Pusat Sumber Sekolah (PSS), Cikgu Dr Abdul Ghani Jalil berkata, pelajar masa kini perlu dibekalkan dengan pelbagai kemahiran kerana dunia sekarang dilihat semakin mencabar dan penuh dengan kejutan.

“Industri kini lebih banyak menggunakan mesin, robot, komputer dan sebagainya dalam urusan seharian dan ini akan menyebabkan tenaga manusia tidak lagi digunakan sepenuhnya.

“Justeru, dengan adanya PSS Barber Shop ini, ia dilihat sebagai suatu langkah yang tepat bagi semua pelajar SMK Bukit Payong agar mereka dapat bersedia dari awal supaya apabila melangkah keluar dari sekolah, kolej dan universiti, mereka telah mempunyai kemahiran yang boleh digunakan untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Tambah Cikgu Dr Abdul Ghani, terdapat lapan objektif penubuhan PSS Barber Shop berkenaan.

“Objektifnya adalah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar, menggalakkan pelajar dan ibu bapa serta penjaga mengunjungi PSS, merangsang Pelaksanaan Program Nilam dan melahirkan pelajar yang berkemahiran, berinovasi dan kreatif sebagai bekalan masa depan.

“Juga, membuka peluang kerjaya di masa hadapan, menambah dana tabung PSS (bagi melaksanakan aktiviti dan membeli keperluan sebagai melengkapkan PSS seiring PSS Abad Ke-21), menyediakan pelajar yang berupaya menghadapi cabaran Abad ke-21 dan dapat mengatasi masalah disiplin pelajar dari segi penjagaan rambut,” katanya.

Sementara itu, pengetuanya, Ahmad Md Isa memberi sokongan berterusan terhadap projek PSS Barber Shop ini.

Katanya, projek tersebut cukup menarik dan memberi banyak manfaat kepada pelajar yang terlibat.

“Selain mengasah kemahiran pelajar berkaitan menggunting rambut ia juga dapat mendidik pelajar tentang menjana pendapatan menerusi perkhidmatan ini,” tuturnya.

PSS Barber Shop yang ditubuhkan SMK Bukit Payong ini telah memilih beberapa pelajar untuk diberi latihan menggunting rambut sebelum mereka menawarkan khidmat kepada warga sekolah.

Bayaran sebanyak RM5 dikenakan kepada individu yang datang untuk menggunting rambut.

Daripada caj tersebut, RM3 diberikan kepada pelajar yang menggunting rambut, RM1 disumbangkan kepada PSS dan RM1 dimasukkan ke dalam akaun PIBG.

PSS Barber Shop tersebut bukanlah diwujudkan untuk mencari keuntungan semata-mata, tetapi ia lebih kepada mengajar kemahiran kepada pelajar mengenai selok belok dunia gunting rambut.

Artikel berkaitan

Khidmat gunting rambut sekolah di Johor dapat sambutan ramai

Sebelum masuk sekolah, ibu bapa pastikan rambut anak digunting mengikut panduan

Bantu pasang capaian internet di sekolah terpilih, projek khidmat komuniti pelajar universiti berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok