Baucar buku akan dikembalikan - PM
Pemberian baucar buku kepada murid sekolah akan diagihkan selewatnya pada Jumaat (esok) bagi meningkatkan lagi budaya membaca dalam kalangan golongan muda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian baucar itu akan diberi kepada murid sekolah bermula Tahun Empat hingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bernilai RM100 setiap seorang.
“Kerajaan boleh teruskan dengan (pemberian) baucar RM100 itu dan untuk tahun ini, kita mulakan dari (murid) Tahun Empat dan ke atas bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.
"Kita akan beri panduan (jenis) buku termasuk novel klasik (seperti) Hikayat Hang Tuah, novel oleh sasterawan terkemuka dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.