Baucar buku fasa kedua pelajar IPT bermula 30 Oktober
Pelaksanaan fasa kedua inisiatif baucar buku bernilai RM100 kepada para pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bermula 30 Oktober hingga 31 Disember ini akan memanfaatkan lebih sejuta pelajar.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, penyaluran baucar akan dilaksanakan melalui platform digital kepada pelajar IPT yang berdaftar di bawah KPT dan berstatus aktif sehingga 31 Mac 2024.
Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal MySISWAPLACE di pautan https:/mysiswaplace.my bermula 30 Oktober ini.
KPT berkata, penebusan kod baucar yang terjana di portal hanya sah digunakan untuk pembelian buku di portal MySISWAPLACE sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar berjumlah RM100.
Portal MySISWAPLACE di bawah kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang merupakan agensi rasmi di bawah KPT adalah untuk memudahkan urusan para pelajar menggunakannya sepanjang inisiatif berkenaan.
Perasmian MySISWAPLACE akan disempunakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir esok.
MySISWAPLACE membantu pelajar dengan menyediakan akses mudah dan cepat kepada bahan bacaan melalui pelantar atas talian yang dilengkapi dengan sistem yang telus bagi memastikan pelajar sentiasa mempunyai bahan rujukan yang diperlukan, memaksimumkan keberkesanan pembelajaran dan mengurangkan kesulitan.
KPT berharap inisiatif ini dapat membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat memugar budaya membaca dalam kalangan pelajar IPT serta bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan. - Bernama