
Bawaan tidak sepadan usia
Perlunya garis panduan berhubung beg berat
Isu beg sekolah yang terlalu berat sekali lagi menjadi tumpuan apabila kanak-kanak berusia enam tahun dibenarkan mendaftar ke Tahun 1 secara sukarela.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, kebanyakan murid belum bersedia secara fizikal untuk membawa buku setiap hari.
Menurutnya, sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, bebanan terlalu berat yang digalas murid-murid bukan sahaja menimbulkan keletihan, malah boleh meningkatkan risiko kecederaan ringan pada tubuh mereka.
“Lebih ketara apabila murid sekolah rendah sebenarnya masih dalam fasa perkembangan fizikal.
“Murid Tahun 1 dan bertubuh kecil didapati sukar membawa beg mereka, terutama ketika menaiki tangga, berjalan jauh dari pintu masuk sekolah atau semasa perhimpunan pagi. Ada yang terpaksa dibantu oleh ibu bapa atau rakan.
“Berlainan pula dengan pelajar peringkat menengah yang umumnya lebih matang dan mampu mengurus beban fizikal dengan lebih baik,” katanya kepada Sinar Bestari.
Panduan bersesuaian
Mengulas lebih lanjut tentang isu ini, i-Guru mencadangkan pelaksanaan garis panduan berat beg sekolah yang jelas dan sepatutnya sesuai dengan umur serta fizikal murid.
Ia boleh dijadikan rujukan bersama oleh sekolah dan ibu bapa bapa agar berat beg tidak melebihi tahap yang selamat.
Mohd Azizee berkata lagi, kesedaran tentang had berat ini juga penting bagi mengelakkan risiko kepenatan melampau.
Bagi ibu bapa, peranan memantau kandungan beg anak setiap hari tidak kurang pentingnya.
“Semakan ringkas sebelum ke sekolah mampu memastikan hanya bahan yang diperlukan sahaja dibawa.
“Pada masa sama, pihak sekolah boleh mempertimbangkan penggunaan rak penyimpanan dalam kelas bagi murid Tahap Satu sebagai langkah jangka panjang,” katanya.
PIBG bantu pihak sekolah
Isu beg sekolah berat bukan perkara baharu dalam kalangan murid dan ibu bapa.
Namun, perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) kini dilihat banyak membantu mengurangkan kebimbangan tersebut.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa, Amiruddin Sahudi berkata, melalui pendekatan semasa, kebanyakan tugasan murid disiapkan di sekolah dan guru menilai pencapaian setiap hari.
Menurutnya, rekod hasil kerja murid turut disimpan oleh guru sekali gus mengurangkan keperluan membawa banyak buku.
“Murid hanya perlu membawa buku mengikut jadual yang ditetapkan pada awal persekolahan.
“Komunikasi antara guru kelas dan ibu bapa juga semakin baik menerusi kumpulan WhatsApp.
“Maklumat berkaitan aktiviti dan keperluan pembelajaran dapat disampaikan secara cepat dan jelas. Ia juga boleh mengelakkan salah faham mengenai bahan yang perlu dibawa ke sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, ujar Amiruddin, aduan berkaitan beg berat yang sebelum ini kerap diterima kini semakin berkurangan.
Jika ada, ia lebih tertumpu kepada perkara lain dan bukan lagi beban buku semata-mata.
“Menjelang kemasukan murid seawal usia enam tahun bermula 2027, sistem pendidikan dijangka melalui transformasi dengan penerapan digitalisasi, pembelajaran menyeronokkan serta pembinaan karakter,” katanya.
Dalam hal ini, PIBG terus memainkan peranan membantu sekolah menjaga kebajikan murid. Amiruddin menjelaskan, banyak sekolah telah menyediakan loker atau ruang simpanan buku di kelas.
“Kami juga akan sentiasa berbincang dengan pihak sekolah bagi memastikan keperluan murid dipenuhi tanpa membebankan ibu bapa,” ujar Amiruddin.
Ringkasan AI
- Isu beg sekolah yang terlalu berat menjadi tumpuan apabila kanak-kanak berusia enam tahun dibenarkan mendaftar ke Tahun 1 secara sukarela
- Kebanyakan murid belum bersedia secara fizikal untuk membawa buku setiap hari, meningkatkan risiko kecederaan ringan
- i-Guru mencadangkan pelaksanaan garis panduan berat beg sekolah yang sesuai dengan umur serta fizikal murid
- Pentaksiran Bilik Darjah dan perubahan kaedah pengajaran kini membantu mengurangkan keperluan membawa banyak buku
- PIBG memainkan peranan membantu sekolah menjaga kebajikan murid, termasuk menyediakan loker atau ruang simpanan buku di kelas
