Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, KPM, Dr Mohd Anuar Abdullah (empat dari kanan), Josephine (enam dari kanan) dan tetamu jemputan bersama satu set komputer lengkap sumbangan Taylor's College kepada SMPK Vokasional Merbok.
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, KPM, Dr Mohd Anuar Abdullah (empat dari kanan), Josephine (enam dari kanan) dan tetamu jemputan bersama satu set komputer lengkap sumbangan Taylor's College kepada SMPK Vokasional Merbok.

Taylor's College dan SMPK Vokasional Merbok memajukan pembelajaran untuk pekerjaan

Memberdayakan pelajar menerusi pelaksanaan Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dan Mock House Training Centre

20 Nov 2023 10:56am
A
A
A

Dalam usaha memajukan pembelajaran bermakna, Taylor's College bekerjasama dengan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Merbok, Kedah untuk menyokong inisiatif-inisiatif pendidikan praktikal sekolah tersebut.

Melalui pelaksanaan Projek School Enterprise Kedai Dobi orang kurang upaya (OKU) dan Mock House Training Centre, kedua-dua institusi pendidikan tersebut komited untuk memberdayakan pelajar-pelajar berkeperluan khas dengan ilmu pengetahuan insaniah dan kemahiran praktikal bagi membolehkan mereka memperolehi pembangunan berkekalan supaya peralihan dari alam persekolahan ke alam pekerjaan kekal lancar.

Menurut Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan, pendidikan mempunyai potensi untuk memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Oleh itu, kami akan terus menyokong warga sekolah dan memberdayakan mereka dengan pengetahuan insaniah, kemahiran praktikal serta nilai-nilai murni yang bukan sahaja akan mempersiapkan pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi, tetapi juga melengkapi mereka untuk kejayaan di alam pekerjaan yang penuh makna,” ujarnya.

Tetamu jemputan ketika berada di Mock House Training Center.
Tetamu jemputan ketika berada di Mock House Training Center.

Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dan Mock House Training Centre merupakan inisiatif Guru Keperluan Khas, SMPK Vokasional Merbok, Cikgu Kumaresan Muniandy yang dibiayai dan disokong Taylor's College.

Inisiatif-inisiatif ini bermatlamat mempersiapkan pelajar-pelajar istimewa melalui latihan praktikal berasaskan industri hospitaliti agar peralihan mereka dari alam persekolahan ke alam pekerjaan lancar.

Mereka yang menjalani latihan itu terdiri daripada pelajar-pelajar murid khas kefungsian rendah yang telah menamatkan sekolah, pekerja berkeperluan khas dari Bengkel Daya Sungai Petani, Kedah dan pelajar-pelajar Pusat Pemulihan Komuniti.

Artikel Berkaitan:

Mereka dilatih selama tiga hingga enam bulan sebelum dibawa ke hotel bagi mengikuti latihan ujian industri.

Cikgu Kumaresan berkata, ramai dalam kalangan para pelajarnya dibelenggu masalah di mana mereka tidak pasti hala tuju selepas alam persekolahan.

“Oleh itu, kami membuka peluang untuk menjalani latihan dalam sektor hospitaliti demi memperkukuhkan kemahiran praktikal dan kemahiran insaniah untuk membantu mereka mencapai kecemerlangan diri agar menjadi warganegara berdikari.

“Setiap pelajar tanpa mengira latar belakang dan cabaran layak untuk mengorak kehidupan yang bermakna dan berjaya.

“Sudah pasti inisiatif ini dapat menanamkan keyakinan yang kukuh kepada para pelajar istimewa sekali gus melengkapkan mereka dengan keupayaan berterusan sepanjang hayat,” kata penerima anugerah RISE Educator of the Year 2023.

Cikgu Kumaresan (kiri) menerangkan Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU kepada Dr Mohd Anuar (tengah),  Josephine (dua dari kanan) dan Rabthah (kanan).
Cikgu Kumaresan (kiri) menerangkan Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU kepada Dr Mohd Anuar (tengah), Josephine (dua dari kanan) dan Rabthah (kanan).

Lima set komputer lengkap

Selain sokongan kewangan, Taylor's College telah memperkayakan lagi sumber pendidikan di SMPK Vokasional Merbok dengan menyediakan lima set komputer lengkap untuk perpustakaan sekolah.Josephine berkata, inisiatif Cikgu Kumaresan menggambarkan komitmen mendalam terhadap inklusiviti dan pendidikan untuk semua, menekankan prinsip bahawa setiap individu tanpa mengira keupayaan mereka, layak mendapat akses yang sama kepada peluang dan masa depan bermakna.

“Inisiatif-inisiatif ini telah memberi impak besar kepada kehidupan para pelajar dan kami gembira untuk menyokong Cikgu Kumaresan sepenuh hati dalam usahanya kerana ia selari dengan dedikasi Taylor's yang kukuh terhadap pendidikan inklusif untuk semua,“ ungkapnya.

Dr Mohd Anuar memotong reben di pintu masuk Mock House Training Center.
Dr Mohd Anuar memotong reben di pintu masuk Mock House Training Center.

Dalam pada itu, Pengetua SMPK Vokasional Merbok, Rabthah Abd Rahim menyaksikan kesan transformasi inisiatif Cikgu Kumaresan secara langsung dan berbesar hati untuk melihat lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada kedua-dua projek tersebut.

Pihak sekolah berterima kasih kepada pihak Taylor's College kerana menyokong inisiatif yang dibangunkan Cikgu Kumaresan kepada pelajar berkeperluan khas dan tajaan set komputer bagi kegunaan para pelajar semasa latihan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok