No Image Caption

Belanjawan 2023: KPM terima peruntukan tertinggi RM55.2 bilion

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
24 Feb 2023 07:41pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion tahun lalu.

Sejumlah RM2.3 bilion daripada peruntukan itu disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia meliputi peruntukan RM920 juta untuk menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Selain itu, beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan memberitahu, peruntukan RM900 juta adalah untuk kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan, Cina dan Tamil.

“Sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).

“Kerajaan juga akan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk anak-anak berhimpun.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak setengah juta termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dusun, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam, Selangor; SMK Nabalu, Sabah dan SMK Dudong, Sarawak,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau memberitahu, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) turut ditambah kepada RM777 juta yang akan memberi memanfaat kepada 700,000 murid.

Selain itu, Anwar berkata, sebanyak RM108 juta diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah yang akan memberi manfaat kepada lebih 240,000 murid prasekolah KPM.

“Peranan guru adalah penting, mendidik dan memanusiakan anak-anak. Selaras arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital.

“Bagi tahun ini, kerajaan akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 komputer riba,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok