Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

Belanjawan 2023: Syarikat besar ambil alih kursus TVET

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
24 Feb 2023 06:05pm
A
A
A

Kerajaan akan memperkasa kerjasama dengan industri bagi Pelaksanaan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data menunjukkan sebanyak 90 peratus graduan TVET memperoleh pekerjaan tetapi 90 peratus meraih gaji yang rendah hanya sekitar RM2,000 sebulan.

“Pembaharuan perlu dilaksanakan agar 90 peratus graduan TVET menerima gaji lebih RM2,000.

“Suatu kebijakan yang harus dicontohi ialah kerjasama Kerajaan Pulau Pinang dengan pemain industri Elektrikal & Elektronik yang berjaya menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dengan gaji bermaruah.

“Syarikat seperti Intel, Motorola dan Inari telah memanfaatkan Penang Skills Development Centre untuk menganjurkan program latihan berdasarkan keperluan mereka,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Anwar menjelaskan, kerajaan berhasrat mencontohi model terbabit secara rintis melibatkan institusi TVET Persekutuan dengan sasaran 50 buah syarikat terutamanya daripada kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sebagai contoh PETRONAS menerajui kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri; DRB Hicom bagi kluster automotif di Pekan; Sunway bagi kluster perhotelan dan MRCB bagi kluster pembinaan.

“Syarikat peneraju tersebut akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, institut latihan perindustrian (ILP) dan institut kemahiran belia negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Pembaharuan ini berupaya menggunakan sumber kerajaan dengan lebih efektif bagi penghasilan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri. Kerjasama awam-swasta melalui pendekatan baharu seperti ini akan terus diteroka untuk bidang atau perkhidmatan kerajaan yang lain,” tuturnya lagi.

Beliau menjelaskan bagi mengeratkan kerjasama industri, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkukuh dengan peruntukan RM50 juta untuk manfaat lebih 8,000 pelatih.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok