IR 4.0 telah membawa perubahan yang signifikan dalam berbagai sektor ekonomi. Gambar kecil: Muhammad Nuraiman Munzir.
IR 4.0 telah membawa perubahan yang signifikan dalam berbagai sektor ekonomi. Gambar kecil: Muhammad Nuraiman Munzir.

Peluang pekerjaan graduan terancam?

06 Feb 2024 07:15am

Melihat dunia kini, kita memerlukan semua benda untuk berinteraksi dengan pantas. Informasi dan data beralih dari satu tempat ke satu tempat kurang daripada sesaat.

Jikalau sebelum ini data hanya berpindah-randah melalui telefon pintar dan komputer, hari ini data juga boleh berjalan dari satu mesin ke satu mesin yang dipanggil M2M (Machine to Machine).

Inilah yang dihuraikan oleh Klaus Schwab, pengasas Forum Ekonomi Dunia atau World Economic Forum dalam bukunya, The Fourth Industrial Revolution.

Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dikenal sebagai Revolusi Industri Keempat melibatkan Internet of Things (IOT) sejak 2016 sehingga sekarang.

IR 4.0 adalah fenomena yang mengubah cara kita bekerja, berkomunikasi dan berinteraksi dengan teknologi.

Melalui peningkatan teknologi digital seperti kecerdasan buatan, IOT dan automasi, IR 4.0 telah membawa perubahan yang signifikan dalam berbagai sektor ekonomi.

Proses peralihan industri ini juga adalah dikenali sebagai Smart Factory di mana setiap sistem yang diimplementasikan adalah lebih fleksibel dan sistematik serta dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru yang lebih mencabar (Morrar, Arman & Mousa, 2017).

Salah satu kesan utama dalam perkenalan IR 4.0 adalah perubahan dalam lingkungan kerja.

Artikel Berkaitan:

Banyak pekerjaan yang dulunya dilakukan secara manual kini dapat diautomasikan sehingga memungkinkan kecekapan yang lebih tinggi dan produktiviti yang meningkat.

Namun, hal ini juga menimbulkan kegusaran tentang hilangnya lapangan kerja tradisional dan perlunya penyesuaian keterampilan untuk menghadapi perubahan ini.

Situasi ini lebih membimbangkan lagi-lagi ketika ini sedang giat berlangsungnya majlis graduasi para siswazah daripada pusat pengajian masing-masing.

Berlabuhnya tirai majlis graduasi ini, maka terbitlah para graduan yang begitu ramai bagaikan cendawan yang tumbuh selepas turunnya hujan.

Destinasi graduan-graduan ini semestinya akan mencari tempat pekerjaan mereka setelah tamatnya pengajian.

Banyak resume yang akan sampai di mana-mana syarikat di seluruh negara ini untuk menempatkan mereka satu peluang pekerjaan di syarikat berkenaan.

Namun, dunia kini menunjukkan bahawa skop peluang pekerjaan yang ditawarkan semakin kecil dan terhad.

Hal ini kerana, IR 4.0 yang telah diperkenalkan menyebabkan firma-firma sekarang menjalankan operasi mereka berorientasikan mesin dan juga teknologi.

Sebagai contoh, industri automotif yang menjalankan operasi pemasangan bahagian kenderaan kini lazimnya telah menukar orientasi pengoperasian mereka dengan menggantikan mesin atau robot daripada tenaga manusia yang diijazahkan daripada institusi pendidikan atau mereka yang telah berpengalaman dalam bidang automotif.

Kesan pertukaran ini telah menyebabkan berlakunya satu fenomena iaitu pengangguran teknologi dimana ruang atau peluang pekerjaan yang sepatutnya diisi oleh fresh graduate tetapi telah digantikan dengan mesin yang semakin bergerak maju dari hari ke hari.

Hal ini secara tidak langsung telah menidakkan keupayaan manusia untuk melakukan pekerjaan mereka malah ini dijadikan sesuatu perkara yang positif kepada pengusaha firma kerana mereka tidak perlu lagi membayar upah untuk mendapatkan tenaga manusia di samping dapat menggunakan mesin yang canggih.

Lambakan graduan

Akibat daripada ini, berlaku lambakan graduan yang masih menganggur sehinggakan ada yang menganggur lebih dari lima tahun kerana berdegil untuk bekerja dalam bidang mereka sendiri atau tidak mempunyai kemahiran dan minat terhadap sebarang pekerjaan lain ataupun tidak mahu bekerja.

Untuk menghadapi ancaman ini, penting bagi graduan baru untuk mempersiapkan diri dengan keterampilan yang sesuai dengan tuntutan pasaran kerja yang terus berkembang.

Selain itu, mereka juga perlu memiliki sikap fleksibiliti dan kemahuan untuk terus belajar dan beradaptasi dengan perubahan yang terjadi.

Dengan demikian, mereka dapat memanfaatkan peluang yang ada dalam IR 4.0 sambil mengatasi ancaman yang mungkin timbul dalam proses transformasi ini.

Di sisi lain, IR 4.0 juga membawa peluang baru dalam hal inovasi dan pengembangan produk.

Dengan adanya teknologi canggih, perusahaan dapat menciptakan solusi baru dan meningkatkan daya saing mereka di pasaran global.

Selain itu, IR 4.0 juga membuka peluang bagi para pengusaha kecil dan sederhana untuk bersaing dengan perusahaan besar melalui akses yang lebih mudah terhadap teknologi.

Antaranya, IR 4.0 membawa peluang keusahawanan baru melalui teknologi digital dan platform dalam talian.

Graduan akan dapat menggunakan kemahiran mereka untuk memulakan perniagaan dalam bidang teknologi atau mengadaptasi model perniagaan tradisional kepada persekitaran digital.

Dikatakan dunia kini semuanya di hujung jari. Semua yang berlangsung di alam nyata kini ada di dunia maya. Tidak kurang urusan jual beli barang atau perkhidmatan dan juga segala berita-berita terkini semuanya di hujung jari melalui laman sesawang atau media sosial.

Dengan kepakaran dan pengetahuan yang sedia ada daripada pengajian graduan, ramai di antara mereka yang bijak menangani masalah pengangguran teknologi ini dengan membuka bisnes mereka tersendiri atau menggunakan teknologi media sosial kini dengan perdagangan barang dan juga perkhidmatan.

Dengan ini mereka mampu untuk menjana wang mereka sendiri tanpa memerlukan seorang majikan memandangkan dunia pekerjaan sekarang, graduan sukar untuk menempatkan diri dalam mana-mana bidang pekerjaan sebaliknya perlu untuk mencipta sendiri pekerjaan.

Tidak kisahlah dengan berniaga atau menggunakan kemahiran mereka untuk melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan wang atau pendapatan.

Cabaran perlu ditempuhi

Namun begitu, terdapat juga cabaran yang perlu ditempuhi dalam menghadapi IR 4.0.

Salah satu daripadanya ialah keperluan untuk peraturan yang mencukupi untuk melindungi data peribadi dan mengawal penggunaan teknologi canggih.

Selain itu, perubahan ini juga memerlukan pelaburan besar dalam infrastruktur dan sumber manusia agar dapat bertindak balas terhadap perubahan dengan cepat.

Dinasihatkan graduan mempelajari sains data atau mendapatkan pekerjaan dalam bidang analisa data.

Mereka harus bijak memilih pekerjaan yang masih tidak boleh dilakukan robot atau mesin, fokus pada pekerjaan yang memerlukan kemahiran seperti penyelesaian masalah, kreativiti dan berhubung dengan orang pada peringkat manusia.

Tetap berhubungan dengan pasaran kerja untuk mendapatkan gambaran terhadap pekerjaan mengikut permintaan dan gaji.

Graduan perlu peka data yakni mempelajari cara menggunakannya untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Graduan perlu endah tentang perkembangan teknologi semasa seperti AI dan impaknya pada pekerjaan terkini.

Secara keseluruhannya, IR 4.0 telah memberi kesan yang ketara terhadap cara kita bekerja dan berinteraksi dengan teknologi.

Dengan pemahaman yang baik tentang perubahan ini, kita boleh memanfaatkan peluang yang ada sambil mengatasi cabaran yang timbul dalam proses transformasi ini.

Kesimpulannya, pelbagai cabaran dan juga kelebihan yang ada dalam menghadapi IR 4.0 ini. Graduan perlu pandai untuk mengikuti dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang kini kerana peluang pekerjaan terbuka kepada masyarakat, terpulang strategi hala tuju untuk mendapatkannya menerusi IR 4.0.

Persoalan tentang IR 4.0 ini sama ada menggugat peluang pekerjaan para graduan adalah ada di tangan graduan itu sendiri dan bukan bergantung sepenuhnya kepada peredaran teknologi.

Graduan yang bijak akan mengambil peluang, manakala graduan yang lemah akan kekal berada di tempat yang sama.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Nuraiman Munzir Yahaya

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp