Belanjawan 2025: Pendidikan, latihan TVET akan dipertingkatkan
Peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dipertingkatkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 pada Jumaat.
Antara yang akan dipertingkatkan adalah:
1) Kolej vokasional dan sekolah menengah teknik terus menyediakan pendidikan kepada 77,000 pelajar dengan peruntukan RM1.2 bilion.
2) PTPK menyediakan pembiayaan sehingga RM500 juta untuk manfaat lebih 20,000 pelatih termasuk RM100 juta khusus untuk bidang keutamaan NIMP seperti MRO, EV, aeroangkasa, AI.
3) HRDCorp akan memanfaat dana RM3 bilion untuk menawarkan tiga juta peluang latihan. HRDCorp juga memperuntukkan semula dana khas 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan Madani khusus untuk golongan rentan. Majikan turut dibenarkan menggunakan levi bagi membiayai elaun sehingga RM1,000 selama setahun bagi graduan melalui HRD Corp termasuk menjalani latihan kemahiran.
4) Khazanah menyediakan RM200 juta melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bagi membekalkan 11,000 bakat tempatan kepada sektor utama seperti semikonduktor.
5) GiatMara dan kolej komuniti disediakan RM55 juta bagi lima tahun untuk mengupaya 10,000 anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran.
6) GiatMara juga akan menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 pekerja gig.
7) Kerajaan mencadangkan potongan dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Program Latihan Berstruktur (MySIP) di bawah Talent Corp turut diperluas kepada pelajar mengikuti latihan berstruktur yang dijalankan oleh badan kawal selia industri dan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.
8) PERKESO akan membina sebuah Pusat Rehabilitasi yang serba canggih di Terengganu dengan kos hampir RM600 juta. Pusat ini akan menawarkan perkhidmatan menyeluruh meliputi rawatan pemulihan sehingga program kembali bekerja sekali gus mengukuhkan usaha mewujudkan sumber manusia yang lebih berdaya tahan dan inklusif.