Anwar
Anwar

Belanjawan 2026: Tambah 1,500 tempat untuk Ijazah Sarjana Muda

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
10 Oct 2025 06:59pm

Kerajaan bersetuju menambah 1,500 lagi unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, AI serta bahasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertambahan itu untuk memberi ruang lebih ramai anak muda cemerlang termasuk lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan.

"Bagi memperkasa bidang perubatan pula, kerajaan juga bersetuju melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta iaitu Pembangunan Teknopolis Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya Health Metropolis," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Selain untuk tujuan pembelajaran anak-anak, ia juga meningkatkan capaian kemudahan kesihatan moden untuk manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya lagi, kerajaan bersetuju membenarkan hospital pengajar universiti awam menubuhkan tabung endowmen.

"Sumbangan diterima layak mendapat potongan cukai pendapatan dan semua sumbangan yang diterima termasuk pendapatan yang terbit dari tabung dikecualikan cukai sepenuhnya," jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Anwar lagi, bidang aeronautik diperkasa dengan peruntukan RM16 juta.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan membangunkan Air Space Sandbox di Sungai Batu Pahat, Perlis.

Artikel Berkaitan:

"Kemudahan pertama negara bagi pengujian penerbangan altitud rendah yang kian penting dalam sektor logistik, pemetaan, pertanian pintar dan keselamatan.

"Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pula universiti ASEAN pertama yang mempunyai lapangan terbang menyokong industri penerbangan maritim dan melahirkan juruterbang amfibia tempatan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan menambah 1,500 tempat untuk Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang di lima universiti penyelidikan
  • Pertambahan tempat pengajian untuk membolehkan lebih ramai anak muda melanjutkan pendidikan tinggi
  • Kerajaan melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta dalam bidang perubatan di UKM dan Universiti Malaya
  • Hospital pengajar universiti awam boleh menubuhkan tabung endowmen yang layak untuk potongan cukai pendapatan
  • UniMAP akan membangunkan Air Space Sandbox di Perlis dan UTHM menjadi universiti ASEAN pertama dengan lapangan terbang sendiri
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp