Sebagai seorang ketua dalam sesebuah organisasi, wajarlah memiliki pelbagai pendekatan untuk memberikan rangsangan bekerja kepada pasukannya.
Sebagai seorang ketua dalam sesebuah organisasi, wajarlah memiliki pelbagai pendekatan untuk memberikan rangsangan bekerja kepada pasukannya.

Beri motivasi menerusi penulisan, usaha gigih guru besar ini tarik perhatian ramai

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
30 Aug 2022 05:04pm

Sebagai seorang ketua dalam sesebuah organisasi, wajarlah memiliki pelbagai pendekatan untuk memberikan rangsangan bekerja kepada pasukannya.

Tidak kisah pendekatan itu berbentuk fizikal atau pun secara dalam talian, asalkan mesej yang ingin disampaikan dapat diterima oleh individu lain.

Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Changlun, Kedah, Mohd Nizam Saidin merupakan antara pentadbir yang ada pendekatan tersendiri dalam mendekati anak-anak buahnya.

Pendekatan yang berbentuk penulisan itu sedikit sebanyak memberi motivasi kepada guru-guru dalam melaksanakan tugasan daripada yang biasa-biasa kepada yang luar biasa!

Berkongsi dengan wartawan Sinar Bestari, Cikgu Mohd Nizam berkata, topik penulisan yang sering dilakukan itu adalah secara umum namun ia tetap berkaitan bidang pendidikan.

“Kebiasaanya sebulan sekali saya akan menulis kata-kata motivasi sebagai penaik semangat untuk warga sekolah.

“Alhamdulillah, setakat ini penulisan tersebut diterima dengan baik oleh semua guru,” katanya yang akan berkongsi penulisan itu menerusi WhatsApp, Telegram dan beberapa lagi saluran lain kepada 200 individu termasuk guru-guru SK Dato' Wan Kemara, pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Sementara itu, Sinar Bestari melihat, dengan pengamalan cara tersebut, maka tidak hairanlah sekolah ini seringkali menempa kejayaan demi kejayaan di pelbagai peringkat.

Antaranya, memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi World Invention Creativity Olympic (WICO) anjuran Korea University Invention Association (KUIA) di Seoul, Korea Selatan; Anugerah Emas Digital Utilisation and Tecnology Award (DUTA) Peringkat Kebangsaan dan pelbagai lagi anugerah lain.

Untuk mengetahui apakah yang ditulis oleh Guru Besar ini, jom Sinar Bestari kongsikan kata-kata motivasi tersebut.

Semoga ia memberi manfaat kepada semua orang termasuk diri sendiri.

*****

Dari Meja GB Nizam

Orang optimis melihat gelas yang berisi separuh sebagai separuh penuh manakala orang pesimis melihatnya sebagai separuh kosong.

Orang optimis mencari manfaat dan hikmah daripada setiap masalah atau cabaran. Dengan cara ini kita tidak akan kecewa jika apa yang diusahakan tidak memenuhi sasaran kerana ia dianggap sebagai pengalaman dan tangga untuk meraih kejayaan. Orang optimis juga tidak cepat berputus asa.

Apabila kita melakukan sesuatu sepenuh jiwa, tanpa disedari sebenarnya kita membina satu fasa gembira. Dalam fasa ini, kita tidak kisah apa orang lain fikir mengenai diri kita.

Malah, kita juga tidak terkesan dengan perkara yang kurang penting di sekeliling termasuk kata-kata yang tidak membina!

Pendekatan menjaga hubungan, silaturahim, kesepakatan dan perpaduan dalam organisasi perlu dibuat menerusi amalan memelihara hubungan baik bagi menjamin kehidupan harmoni dan sejahtera.

Perbezaan pendapat lumrah dalam kehidupan kerana ALLAH SWT menciptakan manusia dengan akal fikiran berbeza.

Oleh itu, untuk kekalkan silaturahim yang utuh dalam kalangan kita, perkara utama perlu dilakukan adalah meraikan perbezaan pendapat atau pandangan dengan antara adab utama ialah sikap tasaamuh, iaitu berlapang dada.

Ingatlah, dalam keluarga besar kita di SK Dato’ Wan Kemara ini, kita datang daripada latar belakang yang berbeza, sosio ekonomi yang berbeza, pendidikan yang berbeza dan kehidupan lampau yang berbeza.

Untuk lebih senang dan bahagia, jangan kita menanam waima sekelumit pun perasaan negatif terhadap sahabat dalam organisasi kita, tetapi tetap bersilaturahim sepanjang masa kerana banyak faedah dan ganjaran dijanjikan ALLAH.

Justeru, usah cepat melatah apabila pendapat dan perbuatan seseorang itu bertentangan dengan cara, kehidupan normal, pendapat dan prinsip kita sendiri.

Raikanlah sahabat yang lain untuk terus bersilaturahim dengan kita.

Senyum.

Artikel berkaitan 

Kemahiran digital SK Dato’ Wan Kemara raih pengiktirafan antarabangsa

Bahana mengejar KPI, kompetensi dan profesionalisme pensyarah terjejas

Bangunkan Kios Bacaan Komuniti dalam sekolah. Usaha SK Kg Baharu dipuji ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp