Berita gembira! PNGK Nasional STPM 2022 catat peningkatan
Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2022 mencatat peningkatan sebanyak 0.03 berbanding tahun lepas iaitu dari 2.79 pada 2021 kepada 2.82 tahun ini.
Menurut Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman, PNGK berkenaan merupakan PNGK Nasional tertinggi tahun ini sejak dilaksanakan peperiksaan STPM.
Katanya, seramai 1,184 atau 2.84 peratus calon STPM 2022 memperoleh PNGK 4.00 dan daripada jumlah itu seramai 1,009 atau 85.22 peratus adalah dari kategori B40.
“Dari segi pencapaian PNGK, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2022 pada PNGK 3.75 dan ke atas adalah 9.59 peratus; PNGK 3.0 (42.96 peratus); PNGK 2.75 dan ke atas (56.76 peratus) serta PNGK 2.0 ke atas pula adalah 89.75 peratus,” ujarnya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di MPM, Selayang, Selangor pada Khamis.
Sebelum itu, Mohd Ekhwan yang juga merupakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, seramai 43,687 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2022.
Daripada jumlah itu, 41,701 calon hadir menjalani peperiksaan tersebut pada ketiga-tiga semester STPM 2022.
“Kira-kira 37,414 merupakan calon kategori B40 manakala 4,287 calon bukan dalam kalangan kategori B40.
“Dari segi kehadiran mengikut aliran, bilangan calon aliran Sains Sosial yang hadir adalah seramai 37,704 manakala aliran Sains pula seramai 3,997,” tuturnya.