Warga UMS terima berita gembira tambahan RM2 juta selesai isu air

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
09 Jan 2024 10:02am

Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima khabar gembira apabila Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air di universiti tersebut.

Dalam lawatannya ke UMS pada Isnin, Zambry berkata, peruntukan itu sebagai tambahan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Temu Siswa tahun lalu.

Zambry ketika bertemu dengan pelajar UMS mengenai isu air di universiti tersebut ketika hadir pada program majlis penyerahan sumbangan Yayasan Perkasa Siswa di UMS.
Zambry ketika bertemu dengan pelajar UMS mengenai isu air di universiti tersebut ketika hadir pada program majlis penyerahan sumbangan Yayasan Perkasa Siswa di UMS.

"Kerajaan amat prihatin dengan perkara ini seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri ketika bertemu dengan siswa, beliau memaklumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk isu bekalan air.

"Tadi saya telah mendengar sekali lagi taklimat berkaitan dengannya dan atas taklimat diberikan itu, mereka memerlukan sedikit lagi tambahan khususnya untuk kawasan yang ada sumber air tetapi air itu tidak boleh dipam naik ke kawasan tinggi di asrama dan kos yang diperlukan antara RM800,000 ke RM1 juta.

"Jadi saya telah mengumumkan sebagai tambahan RM1 juta bagi membolehkan pam itu dapat disediakan untuk menyalurkan air ke atas," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Yayasan Perkasa Siswa di UMS, pada Isnin.

Katanya lagi, hasil inisiatif yang dilakukan pihak UMS dengan menyediakan telaga tiub, mereka juga memerlukan RM1 juta lagi dana tambahan untuk tujuan tersebut.

"Jadi saya tambah lagi RM1 juta untuk memastikan beberapa tiub dapat dibina supaya punca air dapat segerakan.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah penyelesaian jangka pendek dan bagi penyelesaian jangka panjang, kita telah mendapat taklimat bahawa kerajan Sabah ada perancangan untuk membina kolam tangki air yang besar tetapi mungkin mengambil masa sedikit.

"Namun, bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera, ini antara pendekatan terkini yang dibuat dan saya telah memaklumkan kepada pihak UMS, ada dalam kalangan profesor kita yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut dan mereka akan guna pendekatan ini untuk membantu dan menyelesaikannya," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp