Usaha sekolah dalam memberi pendidikan kesan dan bahaya rasuah kepada murid-murid perlu disokong oleh ibu bapa dan PIBG secara berterusan.
Usaha sekolah dalam memberi pendidikan kesan dan bahaya rasuah kepada murid-murid perlu disokong oleh ibu bapa dan PIBG secara berterusan.

Bicara Cilik Rasuah Busters: Medan terbaik pembelajaran luar bilik darjah

ROSHLAWATY MD RAIEH
03 Jul 2023 05:40pm
A
A
A

Pendidikan yang berkualiti dan berfokus sangat penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga cemerlang dalam sahsiah diri.

Keseimbangan akademik dan sahsiah diri sangat penting kerana generasi inilah yang bakal mewakili pelbagai bidang seperti penjawat awam, tokoh politik, ahli perniagaan, golongan profesional dan banyak lagi.

Lantaran itu, pengetahuan tentang pelbagai perkara terutamanya bahaya rasuah haruslah dipupuk seawal usia agar dapat mencegah mereka daripada menjadi pelaku rasuah kelak.

Menurut Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Jerantut, Pahang, Cikgu Norafizah Abdul Razak, pendidikan rasuah perlu dikembangkan di sekolah sebagai pengukuhan pembelajaran luar bilik darjah.

"Murid-murid telah mendapat pendidikan formal selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.

“Ini bermakna dalam tempoh 11 tahun mereka telah menerima pelbagai ilmu pengetahuan dan diharapkan menjadi generasi yang bencikan rasuah melalui pendidikan yang di terima ketika di sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari.

Cikgu Norafizah
Cikgu Norafizah



Dalam membendung budaya rasuah, Cikgu Norafizah memberitahu, guru-guru di sekolah seharusnya memperkenalkan prinsip-prinsip Rukun Negara di samping memberi pengertian dan kefahaman tentang lima prinsipnya kepada murid-murid secara didik hibur atau menggunakan pendekatan yang lebih kreatif.

“Dalam mendepani arus perubahan pendidikan masa kini, seharusnya guru menjadikan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai satu amalan cara hidup yang berterusan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri, setia, bersatu padu, berwawasan, bermaruah, bersikap terbuka dan beretika sejajar dengan wawasan negara.

“Aktiviti-aktiviti pengukuhan di luar bilik darjah seperti Bicara Cilik Rasuah Busters bukan sahaja mampu memberi pengetahuan asas tentang rasuah tetapi juga meningkatkan penghayatan dan jati diri kepada mereka sebagai generasi muda pewaris negara,” ujarnya lagi.

Sambung beliau, Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang dilihat sebagai nadi sesebuah sekolah, harus digerakkan dengan lebih proaktif dalam menyediakan bahan-bahan sokongan untuk meningkatkan kesedaran bahaya rasuah kepada negara.

No Image Caption



Penyertaan 28 buah sekolah

Mengulas lanjut mengenai Bicara Cilik Rasuah Busters Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan secara dalam talian di saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan beberapa media sosial seperti Facebook Sinar Bestari dan Rasuah Busters pada 24 Jun lalu, Cikgu Norafizah selaku Penyelaras Program dan Urus Setia Penyiaran Bicara Cilik Rasuah Busters berkata, program itu berjaya memberi kesedaran tentang bahaya rasuah dan integriti seawal usia dalam masyarakat.

Malah, program itu juga dilihat mampu melahirkan masyarakat yang bencikan amalan rasuah melalui pendidikan.

Jelas beliau, program yang membabitkan penyertaan 28 buah sekolah seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak (19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah) mengetengahkan 58 pembentang cilik manakala 92 pendidik pula menjadi tulang belakang.

Antara tajuk yang dikupas dan dibentang oleh para peserta ialah Kenali Rasuah dan Punca Rasuah, Cara-cara Menangani Rasuah, Pandangan Agama Terhadap Amalan Rasuah dan Apakah Rasuah Busters?

Kata Cikgu Norafizah, pemenang telah dipilih berdasarkan empat rubriks pemarkahan yang disediakan iaitu isi kandungan dan pengolahan idea; bahasa; penyampaian/keupayaan berkomunikasi dan ketokohan.

No Image Caption



Keunikan Bicara Cilik Rasuah Busters

Cikgu Norafizah berkata, program kali ini menampilkan pelbagai keunikan sehingga berjaya menarik perhatian penonton untuk terus menyaksikan program hingga tamat.

Antara keunikannya adalah gandingan moderator yang terdiri daripada murid dari dua sekolah yang berbeza budaya dan persekitaran.

“Gabungan moderator dua murid dari SK Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya iaitu Muhammad Wazif Mohamad Adib dan Tuan Muhammad Aqiem Zharfan Tuan Mohd Badrul Hisham bersama dua murid SK Kuamut Kinabatangan, Sabah iaitu Ilicekah Saitor dan Evenella Nyvera Jumiti sememangnya ‘menjadi’.

Malah, persembahan khas murid Pemulihan SK Banyok, Sibu, Sarawak bimbingan Cikgu Audry Mengan dan murid Pendidikan Khas Integrasi SK Tanah Puteh, Pekan, Pahang bimbingan Cikgu Suhaili Samsuddin begitu kreatif dan mengujakan para penonton,” ujarnya.

Melihat kepada sambutan yang baik terhadap program tersebut, Cikgu Norafizah berharap lebih banyak sekolah dapat mempelbagaikan lagi aktiviti dan kesedaran tentang integriti dan kesan amalan rasuah secara santai dan didik hibur di sekolah.

No Image Caption



INFO

Bicara Cilik Rasuah Busters dianjurkan secara kolaboratif oleh Pusat Sumber SK Kg Baharu Jerantut, Pahang bersama Rasuah Busters dan Grup Buku Karangkraf.

Program disiarkan secara langsung di saluran YouTube SKKB Ts25, Facebook dan TikTok Sinar Bestari, Rasuah Busters, Astro Awani, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Seramai 10 pelajar dinobatkan Pembentang Terbaik Program Bicara Cilik Rasuah Busters Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang berlangsung 24 Jun 2023.

Pembentang pertama, Annur Najiyya Najla Kamarul Bahari dari SK Kampung Baharu membuka tirai Bicara Cilik Rasuah Busters yang diadakan secara dalam talian.
Pembentang pertama, Annur Najiyya Najla Kamarul Bahari dari SK Kampung Baharu membuka tirai Bicara Cilik Rasuah Busters yang diadakan secara dalam talian.



Pembentang Terbaik Kategori Sekolah Rendah

1) Hadif Rayyan Hazri - SK Bukit Kuda, Klang, Selangor

2) Nur Haziqah Azhar Hisyam - SK Matang Gerdu, Bagan Serai, Perak

3) Nurul Adriana Safura Mohammad Zairi - SK Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan

4) Ahmad Muaz Azurahisham - SK Tanah Puteh, Pahang

5) Khyra Dania Khairyna Mohd Hazwan - SK Permatang Tok Dik, Padang Serai, Kedah

Pembentang Terbaik Kategori Sekolah Menengah

1) Nurul Najwa Ahmad Jalani - SMK Maran, Pahang

2) Muhammad Nor Hafizie Amir - SMK (Felda) Seri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan

3) Nur Juita Batrisyia Mohd Faisal - SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang

4) Nurul Yasmin Irdina Maslizi - Sekolah Menengah Agama Marang, Terengganu

5) Muhammad Ariq Erinoor Enche Guri - SMK Kampung Nangka, Sibu, Sarawak

Anugerah Khas Rasuah Busters Kategori Sekolah

1) SK Kuamut, Kinabatangan, Sabah

2) SK Kampung Baharu, Jerantut, Pahang

Anugerah Khas Kategori Guru

1) Cikgu Norafizah Abdul Razak dari SK Kampung Baharu, Jerantut, Pahang

2) Cikgu Muhammad Najib Mohd Jamil dari SK Kuamut, Kinabatangan, Sabah

Anugerah Khas Juri

- Nur Juita Batrisyia Mohd Faizal dari SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok