Bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong
Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara.
Baginda menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing.
Sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda menjalankan pemerintahan kerajaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Bidang kuasanya sebagai Ketua Utama Negara merangkumi perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Terdapat lapan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti dirujuk Buku Teks Sejarah Tahun 5.
Sinar Bestari kongsikan di sini sebagai pengetahuan kita bersama.
1) Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam bagi negeri baginda dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan.
2) Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri dan anggota kabinet Malaysia.
3) Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.
4) Memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain sebagai warganegara Malaysia.
5) Merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
6) Memperkenankan Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Parlimen.
7) Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
8) Yang di-Pertuan Agong mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat.
Berdasarkan bidang kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dengan adil dan saksama.
Sumber: Buku Teks Sejarah Tahun 5