Fadhlina
Fadhlina

Boleh lantik warden asrama bukan guru - Fadhlina

04 Jul 2024 02:04pm
A
A
A

Sebagai warden asrama, tugas mereka sememangnya cukup berat.

Selain menjaga hal ehwal berkaitan murid dan pelajar yang tinggal di asrama, mereka juga perlu bertanggungjawab dalam pelbagai perkara lain bagi memastikan penghuni selesa dan selamat di kawasan asrama

Biasanya, guru akan diutamakan untuk lantikan sebagai warden asrama memandangkan jawatan tersebut secara keseluruhan menjurus ke arah pendidikan dan pembentukan sahsiah murid serta pelajar.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada masa ini warden asrama dilantik dalam kalangan guru.

Katanya, ia berdasarkan konsep in loco parentis atau peranan ibu bapa di asrama untuk menjaga hal berkaitan kebajikan, keselamatan, pelajaran dan disiplin murid.

Ulas Fadhlina, pelantikan guru sebagai warden asrama terjamin dan sah serta diperkukuhkan melalui surat edaran yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai pelantikan warden asrama.

“Ini meliputi kakitangan bukan guru Gred 19 dan ke atas di sekolah-sekolah di bawah KPM melalui surat edaran dengan rujukan KPM.500-1/3/8 bertarikh 20 November 2019.

“Dengan pelantikan ini, pentadbir sekolah boleh melantik warden asrama dalam kalangan bukan guru,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan dikemukakan Datuk Taki Azamuddin (PAS-Baling).

Taki mengusul soalan mengenai dasar pelantikan warden asrama dan sama ada terdapat perancangan menambah baik elaun bulanan yang diberikan kepada warden asrama di sekolah berasrama sejak 2022.

Mengulas lanjut tentang pelantikan warden asrama dan elaun bulanan mereka, Fadhlina berkata, erkuat kuasa 1 Ogos 2022, bilangan warden asrama telah ditambah seramai 3,813 orang, iaitu melibatkan peningkatan 63 peratus daripada 6,055 kepada 9,868 orang.

Manakala kadar Elaun Warden Asrama (EWA) dinaikkan sebanyak 25 peratus, iaitu RM350 sebulan bagi ketua warden asrama dan RM300 sebulan bagi warden asrama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok