Tengku Permaisuri Norashikin berkenan untuk melihat reruai pelajar di Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025.
Tengku Permaisuri Norashikin berkenan untuk melihat reruai pelajar di Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025.

BSTP mahu kolaborasi lagi!

Akademi Pendidikan Sinar Bestari sambut baik hasrat dilanjutkan kerjasama

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
29 Sep 2025 12:11pm

Selepas melihat kejayaan penganjuran festival TV PSS baru-baru ini, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) tampil dengan semangat baharu untuk meneruskan kolaborasi sekali lagi bersama Akademi Pendidikan Sinar Bestari (APSB).

Kerjasama yang dijalin sepanjang majlis kemuncak itu terbukti memberi impak besar bukan sahaja kepada sekolah yang bertanding, malah seluruh ekosistem pendidikan.

Pengarah BSTP, Aniza Kamarulzaman berkata, secara keseluruhannya Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 ini merupakan satu kejayaan besar berikutan mengumpulkan bakat pelajar seluruh negara.

Aniza (kiri) menyampaikan Anugerah Jurukamera TV PSS Terbaik Kategori Sekolah Menengah.
Aniza (kiri) menyampaikan Anugerah Jurukamera TV PSS Terbaik Kategori Sekolah Menengah.

“Festival ini berhasil mencungkil bakat mereka dari segi pengacaraan, penyuntingan, penulisan skrip dan pengarahan.

“Kita juga dapat melihat bahawa kolaborasi di antara mereka juga sangat membanggakan. Pelajar dapat membuktikan tahap keyakinan diri masing-masing walaupun masih berada di tahap sekolah rendah,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Langkah BSTP untuk memperkukuh kolaborasi pada edisi seterusnya mampu membuka lebih banyak ruang kreatif kepada pelajar, guru dan sekolah bagi melakar kejayaan yang lebih membanggakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aniza mengakui guru pembimbing kelab TV PSS sekolah masingmasing yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada pelajar.

Khai Bahar hadir sebagai penampilan khas.
Khai Bahar hadir sebagai penampilan khas.

Usaha yang sering dilakukan itu tidak mengharapkan pujian, namun hakikatnya, merekalah yang menjadi nadi utama kepada pencapaian pelajar.

“Menghargai jasa guru bererti kita mengiktiraf bahawa kejayaan tidak lahir sendiri, sebaliknya hadir daripada tangan yang sabar membimbing dan hati yang ikhlas mendidik.

“Guru-guru inilah yang banyak menggunakan masa dan tenaga mereka untuk membimbing anak murid sekali gus memastikan kejayaan,” katanya.

Pengalaman mahal dikenang

Festival TV PSS sememangnya menjadi pengalaman mahal untuk dikenang bukan sahaja kepada peserta, malah kru di belakang tabir dan guru pembimbing yang setia memberi sokongan turut merasainya.

Setiap detik, dari proses latihan hingga ke saat pengumuman keputusan, sarat dengan pelbagai cabaran, pengorbanan dan kenangan manis yang sukar dilupakan.

Meen Tahrin (dua dari kiri) mengiringi Tengku Permaisuri Norashikin (kiri) mencemar duli ke Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025.
Meen Tahrin (dua dari kiri) mengiringi Tengku Permaisuri Norashikin (kiri) mencemar duli ke Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025.

Pengetua APSB, Meen Tahrin berkata, pengalaman ini juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk merasai suasana sebenar dunia penyiaran, sementara guru akan melihat hasil didikan mereka terpancar di layar.

Lebih mengujakan apabila penganjuran kali ini, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan untuk menyempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025.

“Sudah pastinya APSB amat teruja dan menyambut baik hasrat BSTP untuk meneruskan kolaborasi dalam penganjuran anugerah festival TV PSS.

“Kami bukan sahaja bersedia untuk menjayakannya pada tahun hadapan, malah berharap ia dapat diteruskan hingga ke edisi ke-10 dan seterusnya.

“Kerjasama ini sangat bermakna kerana ia membuktikan sinergi antara sektor pendidikan dan industri media dalam membina generasi celik digital,” katanya.

Kru APSB yang terlibat sepanjang festival bergambar bersama Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) sebagai kenangan.
Kru APSB yang terlibat sepanjang festival bergambar bersama Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) sebagai kenangan.

Inilah kenangan berharga yang bukan sahaja mengangkat nama sekolah, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam dalam hati setiap peserta.

Tambah Meen, APSB dan BSTP komited untuk terus menambah baik penganjuran dan capaian program seterusnya pada masa akan datang.

Ringkasan AI

  • Selepas melihat kejayaan festival TV PSS, BSTP ingin teruskan kolaborasi dengan APSB
  • Kerjasama tersebut memberi impak besar kepada ekosistem pendidikan
  • Festival berhasil mencungkil bakat pelajar dari segi pengacaraan, penyuntingan, dan pengarahan
  • Guru pembimbing memainkan peranan penting dalam pencapaian pelajar
  • Pengalaman mengikuti festival TV PSS menjadi kenangan berharga bagi peserta dan guru pembimbing
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp