Gambar ilustrasi AI.
Gambar ilustrasi AI.

Bukan peperiksaan, tapi diiktiraf: 5,819 pelajar pendidikan khas tamat sekolah dengan sijil sendiri

15 Jan 2026 07:53pm

Seramai 5,819 pelajar pendidikan khas dari 896 sekolah menengah seluruh negara menamatkan persekolahan bagi Sesi Akademik 2025/2026 menerusi satu laluan penilaian khas yang disesuaikan dengan keupayaan mereka, sekali gus melayakkan mereka menerima Sijil Alternatif Sekolah Menengah.

Laluan itu dikenali sebagai Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) iaitu satu bentuk penilaian yang dibangunkan khusus bagi pelajar berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dan tidak berasaskan peperiksaan bertulis konvensional.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, pelaksanaan PASM bagi sesi akademik ini telah selesai sepenuhnya pada 10 Disember 2025, menandakan tamatnya fasa persekolahan menengah bagi ribuan pelajar pendidikan khas di seluruh negara.

Menurut KPM, Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) Sesi Akademik 2025/2026 akan mula dikeluarkan pada 20 Januari 2026 dan boleh diperoleh oleh calon melalui sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.

“Kementerian Pendidikan Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang layak menerima Sijil Alternatif Sekolah Menengah bagi Sesi Akademik 2025/2026,” menurut kenyataan itu.

Laluan berbeza, pengiktirafan setara

PASM merupakan antara inisiatif KPM untuk memastikan pelajar pendidikan khas dinilai secara lebih holistik, merangkumi aspek kebolehan, kemahiran, kefungsian serta potensi kendiri, selaras dengan tahap dan keperluan masing-masing.

Melalui penganugerahan SASM, pelajar pendidikan khas bukan sahaja menamatkan alam persekolahan secara rasmi, malah memperoleh pengiktirafan pendidikan yang boleh menjadi asas untuk melangkah ke alam pekerjaan, latihan kemahiran atau pembangunan kendiri pada masa hadapan.

KPM turut menegaskan komitmen berterusannya dalam memastikan akses pendidikan yang adil, saksama dan inklusif untuk semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, selaras dengan hala tuju serta aspirasi pendidikan negara.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif seperti PASM dan penganugerahan SASM mencerminkan usaha berterusan kementerian dalam memartabatkan pendidikan khas, sekali gus memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan, walaupun melalui laluan yang berbeza.

Ringkasan AI

  • Seramai 5,819 pelajar pendidikan khas menamatkan sekolah menengah menerusi Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM)
  • PASM adalah penilaian dibangunkan khusus untuk pelajar berkeperluan pendidikan khas, tidak berasaskan peperiksaan bertulis konvensional
  • Pelaksanaan PASM untuk sesi akademik 2025/2026 telah selesai sepenuhnya pada 10 Disember 2025
  • Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) sesi 2025/2026 akan dikeluarkan pada 20 Januari 2026
  • PASM dan SASM memastikan pengiktirafan pendidikan bagi pelajar pendidikan khas serta menyediakan asas untuk alam pekerjaan atau pembangunan kendiri
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp