Azlinda (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran MoA antara MQA dengan tiga badan akreditasi antarabangsa dari Gambia, Afrika Selatan dan Ireland.
Azlinda (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran MoA antara MQA dengan tiga badan akreditasi antarabangsa dari Gambia, Afrika Selatan dan Ireland.

Cabaran dunia pendidikan tinggi tuntut pendekatan lebih inovatif, fleksibel

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
12 Nov 2024 08:00am

Perubahan pesat dalam teknologi dan keperluan pasaran global menuntut pendekatan pendidikan yang lebih inovatif dan fleksibel.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu segera menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan keperluan kemahiran digital yang semakin berkembang dalam pasaran kerja.

Beliau berkata, pendidikan tinggi kini berada di persimpangan penting yang mana kejayaan masa depan bergantung pada kemampuan pelajar untuk berinovasi dan beradaptasi dengan perubahan teknologi.

Menurut beliau, keseimbangan antara kualiti akademik dan kebolehpasaran graduan juga penting, terutama dengan kemajuan pesat dalam teknologi digital yang menuntut kurikulum yang lebih fokus kepada pemikiran kritikal dan kreativiti.

"Malaysia telah memulakan perjalanan yang berani untuk muncul sebagai peneraju AI dengan pelancaran beberapa program utama baru-baru ini, bertujuan meningkatkan ekosistem itu bagi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

"Antara inisiatif yang diumumkan adalah program MY AI NEXUS, sebuah usaha yang dipimpin oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan membangunkan 200,000 pakar AI menjelang tahun 2030 dan Malaysia komited menjadi peneraju dalam bidang kecerdasan buatan dengan memperkukuh kerjasama antara sektor akademik dan industri global," kata Zambry.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia (MQAIC) 2024 di Kuching, Sarawak pada Isnin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman.

AZLINDA
AZLINDA

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sesi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) diadakan membabitkan MQA dan Quality and Qualifications Ireland; MQA dan South African Qualifications Authority serta MQA dan National Accreditation and Quality Assurance Authority, The Gambia.

Bertemakan ‘Pendidikan Tinggi Berkualiti Global’, MQAIC kali kedua anjuran MQA itu disertai lebih 400 peserta termasuk wakil dari 15 kedutaan dan pemimpin akademik dari IPT tempatan dan luar negara dari Ireland, Scotland, Perancis, United Kingdom, Romania, Jepun, Indonesia, Australia, Filipina, Afrika Selatan, Gambia, China, Taiwan dan India.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pegawai Eksekutif MQA; Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor Universiti UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.

Dr. Zambry juga menekankan kepentingan teknologi pendidikan adaptif yang menawarkan pendekatan pembelajaran lebih peribadi dan sesuai dengan keperluan pelajar secara individu.

Katanya, model pendidikan baharu seperti micro-credential dan pembelajaran dalam talian juga menjadi cabaran kepada ijazah tradisional yang menuntut IPT untuk lebih fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, persidangan Antarabangsa MQAIC 2024 itu dijayakan dengan kerjasama UNIMAS serta rakan strategik Diamond terdiri daripada Help University, INTI International University, Alliance of Government-Linked Universities, Open University Malaysia (OUM), MILA University, Petro Teguh, City University Malaysia, Asia e University (AeU) serta UNITAR International University.

“MQAIC 2024 menjadi medan perbincangan dengan pakar yang mengupas membincangkan isu-isu kritikal dalam pendidikan tinggi global dengan subtema 'Landskap Pendidikan yang Berubah', 'Perkongsian Kolaboratif', 'Teknologi Adaptif', serta 'Kebolehpasaran TVET',” katanya."

Habis.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp