
Calon SPM terlibat bencana alam dinasihat maklumkan kepada sekolah, JPN - KPM
Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 yang terlibat atau terkesan akibat bencana alam dinasihatkan supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan calon boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan atau JPN di seluruh negara.
KPM menjelaskan pihaknya sentiasa cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam khususnya banjir menjelang peperiksaan SPM 2025.
Sehubungan itu, KPM sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.
"KPM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan komited melaksanakan langkah persediaan serta prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM 2025 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
"KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat," menurut kenyataan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Calon peperiksaan SPM 2025 yang terkesan bencana alam dinasihatkan memaklumkan kepada sekolah atau JPN
- Calon boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan atau JPN
- KPM cakna keselamatan dan kebajikan calon serta petugas
- KPM bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk pengurusan bencana
- KPM komited melaksanakan SOP bagi kelancaran peperiksaan SPM 2025