Barisan 10 Finalis Teratas Malaysia Teacher Prize 2025 iaitu guru-guru hebat yang cemerlang, inovatif dan membawa inspirasi besar dalam dunia pendidikan negara.
Barisan 10 Finalis Teratas Malaysia Teacher Prize 2025 iaitu guru-guru hebat yang cemerlang, inovatif dan membawa inspirasi besar dalam dunia pendidikan negara.

Guru luar biasa, impak luar jangka! Kenali 10 Finalis Teratas Malaysia Teacher Prize 2025

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Oct 2025 12:29pm

Anugerah Malaysia Teacher Prize (MTP) 2025 kembali dengan misi meraikan guru-guru luar biasa yang menjadi pencetus transformasi dalam dunia pendidikan.

Daripada lebih 2,300 penyertaan diterima seluruh negara, hanya 10 Finalis Terbaik dipilih untuk mara ke peringkat akhir bagi mengiktiraf sumbangan dan inovasi mereka dalam dunia pendidikan.

Menurut Pengarah Eksekutif Pemimpin, Samuel Isaiah, pemilihan tahun ini sekali lagi membuktikan bahawa profesion keguruan terus melahirkan individu berjiwa besar dan berdaya inovatif.

"Finalis-finalis ini bukan sahaja memberi impak kepada bilik darjah, malah menjadi ejen perubahan yang menggerakkan komuniti ke arah masa depan pendidikan yang lebih bermakna," katanya yang juga Pengasas Bersama MTP.

Terdahulu, program MTP 2025 disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Varkey Foundation dan barisan penaja utama seperti YTL Foundation, Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan serta ECM Libra Foundation.

Anugerah berprestij ini menawarkan RM50,000 kepada pemenang utama, RM5,000 kepada lima Finalis Teratas dan RM1,000 kepada 10 Finalis Teratas sebagai pengiktirafan terhadap usaha serta dedikasi mereka.

Pemenang akan diumumkan dalam Sidang Kemuncak MTP 2025 yang dijadual berlangsung di Royale Chulan Damansara, Kuala Lumpur pada 8 dan 9 November depan.

Sementara itu, Sinar Bestari menampilkan profil dan kisah inspirasi 10 Finalis Teratas MTP 2025 yang terpilih.

Artikel Berkaitan:

Jom kenali mereka yang menjadi nadi kepada transformasi pendidikan negara!

1) Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Terengganu, Cikgu Zizi' Azniza Mohd

- Prihatin terhadap cabaran murid luar bandar yang terhad akses kepada teknologi, Cikgu Zizi' Aniza mengambil inisiatif menubuhkan dua Pusat Siber di asrama sekolah dengan menggunakan peralatan sumbangan dan barangan terpakai.

Didorong oleh pengalaman membesar di kampung serta inspirasi daripada keluarga pendidik, beliau berusaha menyediakan peluang pembelajaran yang lebih inklusif dan kreatif.

Usaha ini membuka jalan kepada murid untuk berkembang bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam kepimpinan dan inovasi sehingga berjaya melangkah ke International Robotic Competition 2025.

Cikgu Zizi' Aniza
Cikgu Zizi' Aniza

2) Guru Reka Bentuk dan Teknologi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM, Lumut, Perak Cikgu Muhammad Suffi Yusof

- Cikgu Muhammad Suffi percaya bahawa untuk melahirkan murid celik digital, guru perlu diperkasa terlebih dahulu.

Ketika pandemik, beliau menghasilkan 213 video tutorial Google Classroom bersama sembilan guru lain yang dimanfaatkan oleh lebih 23,000 guru seluruh negara.

Dari inisiatif kecil itu, lahirlah Akademi YouTuber, gerakan berteraskan semangat 'Sendirian kita biasa, bersama menjadi luar biasa'. 

Kini, lebih 1,200 guru di bawah gerakan ini telah menghasilkan lebih 25,000 video pendidikan dan 6,350 kelas tuisyen percuma dalam talian, membuka akses pendidikan berkualiti untuk murid serta memperkasa guru dalam kemahiran digital.

Cikgu Muhammad Suffi
Cikgu Muhammad Suffi

3) Guru Penyediaan Dan Penghasilan Makanan, Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Indahpura, Kulai, Johor, Cikgu Viknesvari Letchumanan

- Cikgu Viknesvari menumpukan sepenuh komitmen untuk memperkasa murid berkeperluan khas agar mampu berdikari dan membina masa depan yang mampan.

Sejak 2015, beliau mengubah bilik darjahnya menjadi ruang pembelajaran interaktif berasaskan kemahiran vokasional dan keusahawanan, menjadikannya lebih dekat dengan dunia sebenar.

Melalui latihan praktikal dan bimbingan berterusan, muridnya kini mampu menjalankan perniagaan kecil seperti menjual piza, burger dan kek, malah ada yang berjaya meraih tujuh anugerah di World Chefs Championship 2025, bukti bahawa mereka mampu berdikari dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Cikgu Viknesvari
Cikgu Viknesvari

4) Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Tong, Johor, Cikgu Ching Yun Ming

- Beliau memahami bahawa kepimpinan sekolah bermula dengan membina budaya yang menyokong setiap murid. Pernah gagal dalam Bahasa Melayu, pengalaman itu menjadikannya lebih empati terhadap cabaran murid menguasai bahasa kebangsaan.

Beliau memperkenalkan inisiatif seperti Sanyu Baodian (teks tiga bahasa), program intervensi berfokus dan bimbingan individu, yang meningkatkan kadar lulus murid Tahun Empat daripada 29 peratus kepada 77 peratus dalam dua tahun.

Usaha beliau menjadikan Bahasa Melayu sebahagian daripada budaya sekolah sambil memupuk semangat kolaboratif dalam kalangan guru untuk berinovasi.

Cikgu Yun Ming
Cikgu Yun Ming

5) Guru Pendidikan Muzik, SMK Sultanah Asma, Kedah, Cikgu Zulazri Yusof

- Cikgu Zulazri percaya bahawa pendidikan muzik mampu menyatukan komuniti, mencetuskan kreativiti, dan memperkukuh pencapaian akademik.

Berpegang pada prinsip 'muzik untuk semua', beliau memastikan setiap murid berpeluang meneroka potensi diri melalui pengalaman muzikal yang inklusif.

Usahanya meningkatkan bilangan calon subjek Muzik SPM daripada empat orang pada 2019 kepada 27 orang pada 2026, dengan ramai murid kini mewakili sekolah dan melanjutkan pengajian dalam bidang muzik.

Sebagai pendidik inovatif, beliau turut membangunkan Aplikasi Digital Gamelan Melayu untuk iPad, membuka ruang baharu untuk menghayati muzik tradisional secara interaktif.

Cikgu Zulazri
Cikgu Zulazri

6) Guru Pendidikan Kimia, SMK Dato Jaafar, Johor, Cikgu Minh Chjiat Isabelle Wong

- Cikgu Isabelle percaya bahawa keupayaan murid mampu melangkaui batas jangkaan. Bersama pasukannya, beliau membangunkan aplikasi pembelajaran kimia yang kini digunakan oleh lebih 200,000 pengguna di seluruh dunia dan pernah meraih pingat emas di World Robotics Olympiad.

Setelah lebih sedekad membimbing murid di sekolah berkemudahan lengkap, beliau menyedari bahawa bakat wujud di mana-mana, tetapi peluang tidak sama rata.

Kini, beliau menerajui penubuhan Empower STEM Education Centre, ruang inovasi yang menawarkan latihan robotik, projek eko-STEM dan bengkel kemahiran insaniah yang dikendalikan oleh sukarelawan alumni serta rakan industri. Inisiatif ini membuka peluang sama rata untuk semua murid menguasai ilmu, keyakinan dan kemahiran masa depan.

Cikgu Isabelle
Cikgu Isabelle

7) Guru Pendidikan Seni, SMK Methodist Sibu, Sarawak, Cikgu Yew Ko Woo

- Selama lebih tiga dekad, Cikgu Ko Woo menjadikan Pendidikan Seni Visual sebagai ruang untuk membina keyakinan dan kreativiti murid.

Beliau mencipta MYSVKit, kit pembelajaran berasaskan permainan yang menghidupkan minat dan semangat murid dalam seni.

Di luar kelas, beliau memimpin projek mural komuniti, pameran amal 'Warna-Warna Harapan' serta menubuhkan Bengkel Impian bagi murid yang kekurangan sumber.

Usahanya melahirkan murid berprestasi tinggi, termasuk pencapaian PNGK 3.97, tertinggi di peringkat STPM.

Cikgu Ko Woo
Cikgu Ko Woo

8) Guru Bahasa Melayu, SK Oran, Perlis, Cikgu Dhiya Safina Mohd Bazir

- Selama 15 tahun, Cikgu Dhiya Safina berpegang pada misi memastikan setiap murid menguasai asas literasi dan numerasi.

Sebagai Guru Pemulihan Khas, beliau mencipta kaedah pembelajaran menyeronokkan seperti Monopoly Roda Suku Kata 3.0 dan Papan Spin Pizza untuk menarik minat murid.

Di luar kelas, beliau memperkasa ibu bapa melalui bengkel literasi dan karnival pembelajaran, menjadikan mereka rakan aktif dalam pendidikan anak-anak.

Melalui inisiatif Team Ibu Vangers, enam ibu kepada alumni murid kini membantu membimbing murid lain.

Hasilnya, semua 10 murid yang dahulunya buta huruf kini lancar membaca dan 15 lagi telah berjaya ke arus perdana.

Cikgu Dhiya Safina
Cikgu Dhiya Safina

9) Guru Sejarah, SK Cheneh Baru, Terengganu, Cikgu Rosmawati Hussin

- Cikgu Rosmawati mengambil alih sebagai guru besar pada 2024 ketika lebih separuh murid Tahun Satu masih lemah dalam literasi dan numerasi asas.

Beliau melancarkan Magic Touch Generasi Madani (MAGTOGM), menggerakkan guru, ibu bapa dan komuniti untuk bekerjasama serta memperkenalkan 12 ruang pembelajaran inovatif dan projek keusahawanan seperti nurseri bunga yang diuruskan murid sendiri.

Semua inisiatif dilaksanakan oleh guru dengan sokongan PIBG tanpa kos upah luar.

Dalam enam bulan, kadar murid lemah menurun daripada 51.61 peratus kepada 2.4 peratus, kehadiran meningkat melebihi 90 peratus dan prestasi akademik, sahsiah serta kokurikulum murid turut melonjak.

Cikgu Rosmawati
Cikgu Rosmawati

10) Guru Reka Bentuk dan Grafik, SMK Orkid Desa, Cikgu Siti Ainulmursyida Shamsudin

- Cikgu Siti Ainulmursyida yang juga guru Pendidikan Khas, percaya pendidikan sebenar melangkaui peperiksaan dengan mempersiapkan murid untuk berdikari dan menghadapi dunia dengan keyakinan.

Di bilik darjah, beliau menggunakan inisiatif seperti Speakamon dan Time Travelling Verbs Adventure Game untuk menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih interaktif bagi murid berkeperluan khas.

Beliau juga membangunkan platform digital PEKA OKU, yang telah memberi manfaat kepada lebih 300 murid di seluruh negara, menyediakan peluang biasiswa, latihan dan kerjaya melalui chatbot AI dengan lebih 200 sesi interaksi.

Di bawah bimbingannya, murid telah mewakili Malaysia dalam Global IT Challenge for Youth with Disabilities, meraih pelbagai anugerah antarabangsa termasuk pingat emas.

Cikgu Siti Ainulmursyida
Cikgu Siti Ainulmursyida

 

 

Ringkasan AI

  • Anugerah Malaysia Teacher Prize (MTP) 2025 meraikan guru luar biasa yang menjadi pencetus transformasi dalam dunia pendidikan
  • Lebih 2,300 penyertaan diterima dan hanya 10 Finalis Terbaik dipilih
  • Program MTP 2025 disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan badan-badan lain
  • Pemenang utama menerima RM50,000 sementara lima Finalis Terbaik dan 10 Finalis Teratas menerima hadiah kewangan juga
  • 10 Finalis Teratas MTP 2025 adalah guru-guru yang berinovasi dalam bidang pendidikan, teknologi dan pembelajaran inklusif
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp