
CCTV asrama: Privasi pelajar tetap diutamakan
Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama akan dilaksanakan dengan penuh berhati-hati bagi memastikan keselamatan pelajar terpelihara tanpa menjejaskan hak privasi mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sistem itu memberi tumpuan kepada kawalan akses dan perlindungan data dengan rakaman disimpan sekurang-kurangnya 30 hari mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan kementerian.
Beliau berkata, garis panduan lengkap turut disediakan bagi memastikan pentadbiran dan penggunaan CCTV dilaksanakan dengan teratur di semua sekolah berasrama.
"Keseluruhan operasi CCTV ini dilaksanakan mengikut garis panduan yang jelas bagi memastikan keselamatan pelajar dan perlindungan data mereka terjamin," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Setakat ini, sebanyak 149 daripada 200 sekolah berasrama atau 75 peratus telah siap dipasang CCTV dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.
Tambahan RM5 juta turut disalurkan bagi melengkapkan 333 sekolah berasrama lain dalam fasa seterusnya.
Menurut beliau, pemasangan hanya dilakukan di kawasan strategik seperti laluan utama, pintu masuk dan keluar, tangga, koridor, dewan makan, bilik prep serta kawasan terpencil.
Bilik tidur, tandas dan ruang persalinan tidak akan dipasang CCTV bagi menjaga privasi pelajar, manakala rondaan warden akan dipertingkat bagi memastikan keselamatan sentiasa terpelihara.
Kah Woh menjelaskan, pemasangan sistem itu dilakukan secara berfasa melalui kaedah perolehan terbuka dengan sokongan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Setiap set CCTV ditetapkan harga siling RM15,000 dan sekolah bertanggungjawab memastikan sistem sentiasa berfungsi serta diselenggara mengikut garis panduan dengan waranti minimum setahun.
Mengulas perbandingan antara peruntukan CCTV dan pengedaran lencana Jalur Gemilang, Kah Woh menegaskan kedua-dua inisiatif mempunyai tujuan masing-masing dan tidak menjejaskan pelaksanaan program lain termasuk usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPM kekal komited memastikan kelestarian pendidikan Tamil di negara ini berlandaskan prinsip inklusif, ekuiti dan kualiti sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pendidikan 1996.
Katanya, kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terus terpelihara dengan pelbagai inisiatif pemerkasaan termasuk penambahbaikan infrastruktur, penyediaan makmal sains dan teknologi maklumat (ICT) serta peningkatan pembangunan profesional guru.
"Di SJKT, bahasa Tamil menjadi bahasa pengantar utama bagi memudahkan pemahaman pelajar terhadap konsep pelajaran, manakala bahasa Melayu kekal sebagai mata pelajaran wajib supaya pelajar dapat menguasai bahasa kebangsaan," katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan memastikan pemasangan CCTV di sekolah berasrama dilaksanakan dengan berhati-hati untuk menjaga keselamatan pelajar tanpa menjejaskan privasi
- Sistem CCTV memfokus kepada kawasan strategik dengan rakaman disimpan minimum 30 hari dan penggunaannya mengikut garis panduan kementerian
- Sebanyak 149 dari 200 sekolah berasrama sudah dipasang CCTV dengan peruntukan RM3 juta, dan tambahan RM5 juta untuk 333 sekolah lain
- CCTV tidak akan dipasang di bilik tidur, tandas, dan ruang persalinan untuk menjaga privasi, manakala keselamatan akan dipertingkat melalui rondaan warden
- Pemasangan dilakukan secara berfasa dengan kaedah perolehan terbuka dan setiap set CCTV memiliki harga siling RM15,000 dengan waranti minimum satu tahun