Cerianya SMK Sungai Choh!
Dalam usaha menyokong program Jom Kembali Ke Sekolah, LARRIE Corporation Sdn Bhd berganding bahu bersama SMK Sungai Choh, Rawang bagi projek pengindahan semula dan keceriaan dua blok SMK Sungai Choh yang kini berwajah baharu.
Memperluas inisiatif komunitinya, LARRIE turut menaja tiga buah mural termasuk di laluan pejalan kaki utama, Laluan HIP (Highly Immersive Programme) LARRIE, di bawah seliaan panitia Bahasa Inggeris SMK Sungai Choh.
Pengarah Pemasaran LARRIE Corporation Sdn Bhd, Lenson Chong berkata, sebagai sebuah syarikat kasut terkenal, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini selaras matlamat bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi keceriaan dan menarik minat pelajar ke sekolah.
“Tajaan yang LARRIE berikan adalah sebahagian daripada teras kami sebagai jenama tempatan yang ingin menjadi prihatin terhadap keperluan komuniti khususnya di negeri syarikat kami beroperasi.
"Selain membolehkan bersama-sama meluangkan masa dengan masyarakat setempat, kami juga ingin mencipta lebih banyak saat-saat indah bersama orang ramai yang pelbagai termasuk pelajar sekolah. Ini adalah masa untuk kami menampilkan penghargaan kepada mereka, seiring dengan sasaran untuk menghargai antara satu sama lain” kata Lenson.
Dalam Majlis Perasmian Keceriaan Blok SMK Sungai Choh yang disempurnakan Pengetuanya, Mohd Suhaimi Abdullah, menyaksikan LARRIE menyumbang sebanyak RM68,000 bagi menampung kos projek itu.
Menurut Lenson, mereka gembira dapat melihat senyuman yang terukir pada warga SMK Sungai Choh setelah dua blok bangunan sekolah itu kini berwajah baharu termasuk dihiasi dengan lukisan mural pelbagai mesej.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada SMK Sungai Choh kerana sudi menerima sumbangan dari pihak LARRIE bagi berkongsi kegembiraan kepada pelajar di sekolah ini.
"Kami berharap sumbangan ini akan membawa keceriaan kepada mereka dan menanam sikap untuk rajin ke sekolah,” tambah Lenson.
Untuk rekod, inisiatif terbaru oleh LARRIE Corporation Sdn Bhd adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan syarikat yang diusahakan sepanjang tahun.
Bertujuan mewujudkan impak positif dalam komuniti-komuniti ia beroperasi, LARRIE menyasarkan untuk menjalankan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan pada masa akan datang.
“Pihak sekolah sangat menghargai sumbangan yang dilaksanakan oleh LARRIE. Ini merupakan satu penambahbaikan dan perubahan yang cukup penting bagi kami, terutamanya bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah. Besar harapan saya agar keceriaan yang disumbangkan ini dapat dihargai oleh semua warga SMK Sungai Choh” kata Mohd Suhaimi.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sungai Choh, Azli Abd Razak turut menghargai sumbangan CSR LARRIE di sekolah tersebut.
“Saya percaya dengan perubahan ini pasti akan menyuntik semangat pelajar untuk ke sekolah sekali gus meluaskan lagi konsep KPM, Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC)” kata Azli.