usm4
usm4

Cungkil minat murid dalam STEM, USM anjurkan program STEMtation

webadmin
12 Jan 2022 04:25pm
A
A
A

PULAU PINANG - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah selaras dengan aspirasi dan visi Matlamat Pembangunan Lestari ke-4 (SDG4) dengan mengemukakan 11 anjakan untuk mencapai keberhasilan sistem di mana anjakan pertama adalah berkaitan dengan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menekankan lebih ramai murid yang akan menceburi bidang dan kerjaya STEM.

Dalam usaha untuk mencapai pendidikan berkualiti menjelang tahun 2030, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations General Assembly) telah menggariskan Matlamat Pembangunan Mampan yang keempat (SDG4) iaitu memastikan pendidikan berkualiti, menyeluruh dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua (UNGA, 2015).

Bagaimanapun, cabaran semasa dalam sistem pendidikan adalah untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi untuk sektor pekerjaan abad ke-21 terutamanya yang berkaitan dengan STEM.

Pengukuhan pendidikan STEM khususnya bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah sangat penting bagi menyediakan murid dengan kemahiran dan pengetahuan subjek-subjek yang relevan untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Oleh itu, kepentingan pendidikan STEM untuk mencapai hasrat ini dilihat semakin diperlukan dalam sistem pendidikan terutamanya membabitkan murid yang akan menduduki peperiksaan SPM.

Pelbagai projek berasaskan STEM berjaya dihasilkan menerusi program STEMtation.

Dengan mendalami STEM, murid yang akan menduduki SPM berupaya untuk mengintegrasikannya dalam bidang STEM yang akan diceburi selepas tamat SPM dan seterusnya berupaya untuk menerap dan mengaplikasikannya dalam konteks dunia pekerjaan yang sebenar.

Sehubungan itu, program empowerNCER Akademik melalui ‘STEMtation’ yang menyasarkan golongan B40 telah dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bertujuan untuk meningkatkan pencapaian dan minat pelajar dalam subjek STEM.

Program ini turut mendedahkan murid mengenai pendidikan STEM dengan konteks dunia sebenar dan cara menerapkannya di luar kelas khususnya kepada pelajar SPM 2021 di lima daerah yang melibatkan 25 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang.

Satu siri bengkel yang terdiri daripada aktiviti hands-on dan minds-on juga telah dilaksanakan oleh USM melalui Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) dan mahasiswa USM telah memberi peluang kepada murid untuk mendapatkan pengalaman langsung pendidikan STEM bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan prestasi mereka dalam STEM untuk abad ke-21 yang berkaitan dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Pelajar mengetengahkan pelbagai idea untuk menghasilkan projek berasaskan subjek STEM.

Program ‘STEMtation’ ini mengandungi tiga modul iaitu Modul 1: Taman dalam Botol; Modul 2: Projektor Telefon Pintar Menggunakan Kotak Kasut dan Modul 3: Pembinaan Bandar berunsurkan Teknologi Hijau.

Walaupun kekangan pandemik Covid-19, ketiga-tiga modul ini yang bertujuan untuk meningkatkan minat dan pencapaian murid terhadap STEM telah berjaya dilaksanakan atas usaha kuat oleh para coaches dan penasihat akademik ‘STEMtation’.

Program ini telah terbukti membuahkan hasil di mana murid berjaya menghasilkan produk yang cantik dan di samping itu telah mendalami ilmu STEM di sebalik penghasilan produk tersebut.

Selain itu, analisis SPM bagi subjek Sains dan Matematik juga menunjukkan keputusan yang sangat memberangsangkan di mana berlaku peningkatan gred sebanyak 92 peratus bagi subjek Matematik dan 74 peratus bagi subjek Sains.

Antara projek yang dihasilkan peserta STEMtation.

Peningkatan gred ini jelas menunjukkan bahawa program yang memberikan pendedahan berkaitan STEM perlu digiatkan lagi dan terbukti dapat membantu pemahaman murid dan seterusnya berjaya mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam subjek Sains dan Matematik.

Berpaksikan atas kejayaan itu, ‘STEMtation’ sekali lagi dilaksanakan dalam program empowerNCER-Akademik pada tahun 2021 bagi memastikan kelestarian iaitu menjamin pendidikan berkualiti, menyeluruh dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua terutamanya murid yang mengambil subjek berkaitan STEM.

Program empowerNCER-Akademik merupakan inisiatif pembangunan modal insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan USM telah diberi mandat menjadi pelaksana Program empowerNCER Akademik ini melibatkan 1,000 pelajar Tingkatan 5 di Pulau Pinang.

Artikel oleh Pensyarah USM, Dr Nor Asniza Ishak

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok