Arahan memanggil guru bertugas berdasarkan surat siaran KPM Bilangan 11 Tahun 2017- Hui Ying.
Arahan memanggil guru bertugas berdasarkan surat siaran KPM Bilangan 11 Tahun 2017- Hui Ying.

Cuti penggal persekolahan: Guru boleh diarah hadir bertugas - Hui Ying

ROSHLAWATY MD RAIEH
02 Mar 2023 05:43pm
A
A
A

“Ketika cuti penggal persekolahan, guru-guru boleh diarahkan untuk hadir bertugas.

“Namun tugas berkenaan tidak boleh melebihi separuh daripada bilangan cuti penggal persekolahan dalam takwim sekolah bagi tahun tersebut.” Demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Menurut Hui Ying, situasi berkenaan adalah berdasarkan surat siaran Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 11 Tahun 2017 yang memaklumkan arahan hadir bertugas itu meliputi tugasan mengawas peperiksaan, berkursus dan mesyuarat persediaan awal tahun persekolahan.

“Walaupun ini tugasan luar dan bukan bersifat rutin yang perlu dilakukan setiap hari, tetapi ia juga sebahagian daripada tugas guru,” ujarnya semasa menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) yang bertanyakan sekiranya guru boleh dipanggil bertugas ketika cuti sekolah.

Kata Hui Ying lagi, tiada elaun khusus diberikan kepada guru yang melaksanakan tugasan luar bilik darjah termasuk hadir ke mesyuarat pengurusan sekolah pada hujung minggu.

“Bagaimanapun jika guru diarahkan bertugas di luar sekolah, mereka layak diberikan tuntutan perjalanan.

“Semua perkara ini adalah setakat sekarang. Jika ada sebarang isu dibangkitkan kita akan ambil maklum dan menelitinya,” jelas beliau ketika menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (Padang Terap) yang bertanyakan sekiranya kerajaan akan memperkenalkan insentif atau elaun khusus kepada guru gred DG41 yang melaksanakan tugasan di luar kelas.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok