Banyak tempat menarik yang boleh dijadikan lokasi percutian sempena cuti sekolah, antaranya hutan lipur. Gambar kecil: Siti Suriawati.
Banyak tempat menarik yang boleh dijadikan lokasi percutian sempena cuti sekolah, antaranya hutan lipur. Gambar kecil: Siti Suriawati.

Cuti sekolah: Manfaat khazanah alam

ROSHLAWATY MD RAIEH
13 Feb 2024 11:12am
A
A
A

Cuti Akhir Persekolahan Sesi 2023/2024 sedang berlangsung sehingga 10 Mac depan.

Manakala pengoperasian semula sekolah bagi Sesi Akademik 2024/2025 dijangka pada 11 Mac 2024.

Sepanjang cuti sekolah, masyarakat terutamanya ibu bapa perlu memanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti yang boleh membantu meningkatkan pembangunan karekter anak-anak selain menambah pengetahuan mereka.

Menurut pensyarah Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Siti Suriawati Isa, aktiviti berkenaan boleh mengurangkan kebergantungan anak-anak kepada gajet elektronik untuk mengisi hari-hari cuti mereka.

“Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah berkelah atau berkhemah di samping merentas hutan di hutan rekreasi.

“Hutan rekreasi kaya dengan flora dan fauna. Ia boleh memberikan ilmu pengetahuan di luar bilik darjah kepada anak-anak selain menjamin gaya hidup sihat keluarga,” ujanya.

Siti Suriawati berkata, menjadi trend masa kini penggemar aktiviti lasak mencari tempat bagi melakukan aktiviti merentas hutan, mandi manda di kawasan air terjun yang disulami acara berkelah ataupun BBQ di tempat tersebut.

Bagaimanapun katanya, dalam keghairahan melakukan aktiviti itu, masyarakat dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan larangan terutama sekali membabitkan hutan simpan kekal di bawah Jabatan Perhutanan Negeri.

Artikel Berkaitan:

Pada dasarnya, beliau berkata, terdapat empat jenis hutan simpan kekal di Malaysia iaitu hutan perlindungan, hutan berhasil/pengeluaran, hutan lipur serta hutan penyelidikan dan pendidikan.

“Daripada senarai hutan simpan kekal ini, hanya hutan lipur dibuka kepada orang ramai dan diperuntukkan sebagai tempat rekreasi, ekopelancongan dan untuk kesedaran masyarakat mengenai perhutanan di bawah Dasar Perhutanan Taman Eko-Rimba 1978 (pindaan 1992).

“Ia dibuka hampir sepanjang tahun kepada orang ramai kecuali pada waktu tertentu yang diumumkan Jabatan Perhutanan atau pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Sementara itu, Selangor antara negeri mempunyai beberapa hutan lipur yang dibuka sebagai kawasan melakukan aktiviti berekreasi bertaraf dunia atau antarabangsa.

Kebanyakan hutan lipur tersebut terletak di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Pada tahun 2017, JPNS telah mewujudkan 10 Taman Eko Rimba dan sebuah Taman Negeri Selangor dengan keluasan sekitar 113,780 hektar yang mampu menyediakan kemudahan bagi tujuan rekreasi kepada masyarakat.

“Kebanyakan Taman Eko Rimba ini menyediakan beberapa kemudahan yang diselia dengan baik seperti gerai makan dan minum, parkir kereta dan tandas awam misalnya Taman Eko Rimba Templer di Rawang.

“Ia mempunyai keunikan tersendiri selain kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem kompleks serta menarik untuk dikunjungi,” ujar Siti Suriawati.

Kepada ibu bapa yang ingin membawa anak-anak sempena cuti sekolah, Siti Suriawati berkata, lokasi sebegini wajar dijadikan destinasi pilihan.

"Anak-anak yang gemar mendaki dan merentas hutan, mereka boleh mendaki ke kawasan lebih tinggi untuk melihat pemandangan cantik dan kawasan air terjun lebih bersih.

"Situasi ini secara tidak langsung menjadi salah satu proses pembelajaran buat mereka," katanya.

Bagaimanapun, demi keselamatan keluarga dan pengguna lain, masyarakat dinasihatkan peka dan sensitif dengan undang-undang seperti kesalahan menebang pokok, meninggalkan sisa makanan, membakar dan meninggalkan sampah setelah selesai menjalankan aktiviti.

"Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab untuk tidak menceroboh mana-mana kawasan yang dilarang dikunjungi pihak berkuasa.

"Jadilah masyarakat prihatin demi menjaga kelestarian alam sekitar di negara kita," akhiri beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok