Internship at Cycle & Carriage_2
Internship at Cycle & Carriage_2

Cycle & Carriage tawarkan Geran Pendidikan Belia 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
20 Aug 2021 05:37pm
A
A
A

Kuala Lumpur - Cycle & Carriage Bintang Berhad, pengedar tunggal Mercedes-Benz di Malaysia, kini membuka permohonan geran pendidikan untuk tahun 2021 membabitkan jumlah pembiayaan sebanyak RM15,000 setiap seorang bagi tempoh tiga tahun pengajian.

Program yang sudah masuk tahun ketiga itu bertujuan memberi manfaat kepada golongan belia yang berminat menceburi kerjaya dalam bidang automotif dengan menyediakan akses kepada pendidikan teknikal dan vokasional yang berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage, Wilfrid Foo, berkata pihaknya yakin dapat memberikan perjalanan dan pengalaman luar biasa kepada individu yang terpilih mengikuti program pengajian di bawah geran pendidikan berkenaan.

Menurut beliau, program ini juga diharap dapat menanam minat generasi muda dalam bidang automotif sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional untuk industri di masa akan datang.

"Setiap penerima geran akan mendapat sokongan bagi membantu meningkatkan pencapaian dan mutu akademik serta profesionalisme mereka dalam bidang kerjaya kelak.

"Kami sudah bersedia mengalu-alukan penyertaan individu berbakat ini dalam rangkaian kami termasuklah menyediakan penempatan kerjaya kepada mereka di Cycle & Carriage sebaik menamatkan pengajian," kata beliau.

Inisiatif Geran Pendidikan Belia adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Cycle & Carriage dalam menyokong pendidikan teknikal dan vokasional negara serta pembangunan sosial masyarakat tempatan.

 

Sejak dilancarkan pada 2019, Cycle & Carriage sudah berjaya membantu penempatan kerjaya 10 individu.

Pemohon yang berminat perlu menepati beberapa kriteria yang ditetapkan iaitu berusia 16 tahun dan ke atas dan berasal daripada keluarga dengan pendapatan bulanan isi rumah RM4,850 ke bawah.

Pelajar juga perlu mendaftar atau mendapat tempat dalam mana-mana kursus automotif di institut latihan kemahiran yang diakreditasi oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia atau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selain itu, mereka juga perlu mendapat sekurang-kurangnya kredit dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik sama ada di peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

Pemohon yang layak akan menerima biasiswa berjumlah RM5,000 setahun sepanjang tiga tahun pengajian, peluang latihan praktikal ketika cuti semester dan penempatan kerjaya dengan Cycle & Carriage.

Pelajar yang berminat boleh membuat permohonan melalui https://cyclecarriage.com.my/about-us/study-grant-2021/ bermula sekarang hingga 31 Ogos 2021.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok