No Image Caption

Daripada guru ke sukarelawan: Kisah kemanusiaan di sebalik banjir Perlis

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
28 Nov 2025 08:00pm

Dalam kesibukan negara menumpukan perhatian kepada bencana banjir yang melanda Perlis, terserlah satu perkara yang menyentuh hati, solidariti warga pendidikan yang menjadi tulang belakang pengurusan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta sekolah-sekolah terjejas.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meluangkan masa seharian meninjau sendiri situasi di lapangan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat sentiasa terjamin.

Beliau bukan sekadar melihat angka atau laporan, tetapi turun bertemu mangsa, petugas, guru dan sukarelawan yang berdepan hari-hari mencabar sejak banjir mula melanda.

Di PPS yang beroperasi di institusi pendidikan, Fadhlina meneliti perjalanan operasi daripada penyediaan tempat tidur, makan minum hinggalah keselamatan kanak-kanak dan warga emas yang berlindung di situ.

No Image Caption

Di sekolah-sekolah yang terjejas, menteri menilai kerosakan dengan dekat iaitu bilik darjah yang dinaiki air, kemudahan rosak dan ruang pembelajaran yang perlu dipulihkan segera. Bagi beliau, setiap kerosakan bukan sekadar aset musnah, tetapi ruang ilmu yang harus segera dikembalikan kepada pelajar.

Mengakui bahawa pengurusan bencana tidak pernah sempurna, Fadhlina menekankan bahawa pasukan di lapangan telah memberikan usaha terbaik demi masyarakat.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Kami mungkin tidak sempurna…namun, kami usahakan yang terbaik demi kepentingan seluruh masyarakat yang terkesan,” katanya, sambil menyampaikan penghargaan kepada semua yang bertungkus-lumus menghadapi cabaran ini.

Lebih daripada sekadar lawatan rasmi, kehadirannya memberi semangat kepada pasukan yang bekerja tanpa mengira masa daripada guru yang membantu memindahkan peralatan, pengurusan sekolah yang memastikan PPS berjalan lancar, hinggalah sukarelawan muda yang mengangkat tilam dan menyediakan keperluan asas mangsa.

Wajah kepenatan petugas, suara anak-anak yang mencari ketenangan dan usaha berterusan warga sekolah membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya berlaku di dalam kelas tetapi juga ketika seluruh komuniti berganding bahu menghadapi bencana.

Dalam nada penuh harapan, Fadhlina mengajak semua untuk terus kuat: “Kita hadapi kendala ini bersama.”

Itulah semangat sebenar yang mengikat dunia pendidikan bersama ketika senang, tetap utuh ketika diuji.

Ringkasan AI

  • Dalam kesibukan banjir di Perlis, solidariti warga pendidikan penting dalam pengurusan Pusat Pemindahan Sementara dan sekolah-sekolah terjejas
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meninjau situasi banjir selama sehari untuk memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat
  • Fadhlina bukan sekadar melihat angka tetapi bertemu mangsa, petugas, guru, dan sukarelawan yang berdepan dengan cabaran banjir
  • Beliau meneliti operasi PPS di institusi pendidikan dan menilai kerosakan di sekolah-sekolah yang terjejas untuk memulihkan ruang pembelajaran
  • Fadhlina menekankan usaha terbaik demi masyarakat dan mengajak semua untuk berganding bahu menghadapi cabaran bersama
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp