Demi anak bangsa, guru tolak pacuan empat roda di jalan berlumpur
Sekumpulan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kapulu, Tenom bergabung tenaga menolak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbenam dalam lumpur ketika melalui jalan dari tempat mereka mengajar ke Pekan Tenom, Sabah yang terletak sejauh lebih 50 kilometer.
Ini keadaan yang dipaparkan dalam gambar yang diterima Sinar Bestari yang dipercayai berlaku pada Jumaat ketika sekumpulan guru dalam perjalanan pulang dari sekolah berkenaan.
Menerusi video itu, kelihatan keadaan jalan tanah merah dan berlumpur akibat kesan daripada hujan lebat di Tenom pada Khamis, sekali gus menyebabkan jalan tersebut menjadi licin dan sukar untuk dilalui walaupun menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi, di mana perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sekitar dua jam tetapi hanya tiba di Pekan Tenom selepas hampir lima jam akibat keadaan jalan itu.
Apa yang dapat disimpulkan melalui video ini, meskipun berhadapan dengan cabaran namun kumpulan guru tersebut kelihatan tidak merasa serik untuk terus berjuang demi mendidik anak-anak di kawasan pedalaman di Sabah.
Tanpa mengira kesukaran dan kepayahan, mereka terus mencurahkan ilmu supaya anak-anak di pedalaman menerima ilmu sama rata seperti murid di kawasan bandar.