Kah Woh
Kah Woh

Pelaksanaan latihan Bantuan Psikologi Awal, antara fokus utama KPM tahun depan

28 Oct 2025 10:46pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi keutamaan kepada pelaksanaan latihan Bantuan Psikologi Awal (PFI) bagi memberi kemahiran asas kepada guru untuk memberi sokongan psikologi segera kepada murid di sekolah bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pelaksanaan tersebut akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pada masa sama, KPM melaksanakan saringan minda sihat terhadap anak-anak yang mana kita mengawal atau memantau tanda-tanda awal kesihatan minda mereka, bagi yang berada di Tahun Lima dan Enam, juga di sekolah menengah.

"Tanda-tanda awal yang kita pantau termasuklah dari segi kemurungan dan kebimbangan anak-anak, dari sini kita akan dapat data yang holistik supaya segala usaha kita lakukan itu dapat dilaksanakan dengan lebih spesifik," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai langkah diambil kementeriannya bagi memastikan guru warden atau guru displin di sekolah berasrama diberi latihan psikologi dan kaunseling profesional supaya dapat mengesan tanda-tanda awal murid berpotensi menjadi pembuli atau mangsa buli.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, pelaksanaan tersebut akan disebarkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Daripada segi keberkesanan pula katanya, ia akan dipantau oleh KPM dan JPN untuk memastikan guru bersedia membimbing serta membantu murid.

Beliau menambah, KPM juga akan turut memperkukuh pelaksanaan program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang mendedahkan guru dengan ilmu asas psikolgi dan kaunseling.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga 2024, seramai 500 pengetua dan guru besar telah ditauliah sebagai AKRAB. Bagi 2025, kita sasarkan 312 pegawai daripada bahagian-bahagian KPM dan JPN mengikuti latihan AKRAB," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada latihan Bantuan Psikologi Awal untuk guru
  • Pelaksanaan latihan dilakukan bersama Kementerian Kesihatan
  • Melaksanakan saringan minda sihat pada murid Tahun Lima dan Enam serta di sekolah menengah
  • Pelaksanaan program disebarkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah
  • Memperkukuh pelaksanaan program AKRAB bagi memperluas ilmu psikologi dan kaunseling guru
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp