
Keselamatan digital remaja: Larangan media sosial bawah 16 tahun mulai 2026
Kerajaan Malaysia merancang untuk memperkenalkan dasar baharu yang melarang penggunaan media sosial bagi remaja bawah 16 tahun seawal tahun 2026.
Dasar ini merupakan langkah proaktif untuk melindungi golongan muda daripada risiko digital yang semakin meningkat seiring kemajuan teknologi masa kini.
Dengan perkembangan pesat platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube yang mudah diakses melalui telefon pintar, tablet dan komputer, remaja kini terdedah kepada ancaman seperti buli siber, penyebaran maklumat palsu, kandungan tidak sesuai serta ketagihan media sosial yang boleh menjejaskan perkembangan mental dan emosi mereka.
Dalam kajian Assessment of Sleep Quality and its Relationship to Social Media Use Among Medical Students yang melibatkan 702 pelajar, lebih 66 peratus responden melaporkan kualiti tidur yang rendah.
Sebanyak, 92.3 peratus menggunakan peranti elektronik sebelum tidur, manakala 88.4% aktif di media sosial pada waktu malam. Hasil kajian mendapati masa yang dihabiskan di media sosial sebelum tidur mempunyai hubungan jelas dengan gangguan tidur pelajar, sekali gus menekankan kepentingan kawalan dan pengawasan lebih efektif.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Fahmi Fadzil, kerajaan akan bekerjasama rapat dengan penyedia platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter/X untuk melaksanakan sistem e-KYC (electronic Know Your Customer) bagi mengesahkan umur pengguna.
Pendaftaran akaun baru akan memerlukan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
Beliau menambah bahawa selain melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang dilakukan di Australia dan beberapa negara lain, terutamanya dari segi mekanisme penguatkuasaan.
“Negara yang berbeza mungkin mengambil pendekatan yang berbeza, namun kita akan mengkaji kaedah yang paling sesuai untuk memastikan mereka di bawah umur 16 tahun dihalang daripada mempunyai akaun media sosial,” katanya.
Dasar ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat seawal tahun 2026, dimulai dengan kempen kesedaran dan pemantauan penggunaan sebelum penguatkuasaan penuh melalui Online Safety Act.
Walaupun dasar ini disambut baik, pakar keselamatan digital menekankan cabaran utama ialah memastikan semua platform benar-benar mematuhi sistem e-KYC.
Risiko remaja menggunakan akaun milik orang dewasa atau identiti palsu untuk mengakses media sosial, sekali gus memerlukan pengawasan berterusan daripada ibu bapa.
Langkah kawalan ini bertujuan melindungi remaja daripada pendedahan awal kepada kandungan berbahaya, tekanan sosial, buli siber dan bentuk eksploitasi digital lain, di samping memberi ruang kepada mereka untuk meneroka dunia digital secara selamat.
Selain penguatkuasaan e-KYC, ibu bapa, guru dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dasar ini.
Ibu bapa disarankan memantau aktiviti digital anak-anak melalui aplikasi kawalan, menetapkan had masa penggunaan serta memastikan peranti digunakan di ruang terbuka rumah.
Pada masa yang sama, ibu bapa perlu berbincang secara terbuka mengenai penggunaan media sosial yang tidak betul supaya anak memahami tujuan dan keperluan larangan tersebut.
Guru pula berperanan memperkukuh pendidikan literasi digital di sekolah dengan mengajar pelajar mengenal pasti berita palsu, mengurus identiti digital dengan selamat serta berinteraksi secara beretika dalam talian.
Mereka juga perlu memantau tingkah laku siber pelajar, membimbing mereka melaporkan insiden buli siber secara berkesan dan menyediakan sokongan awal sekiranya terdapat tanda-tanda penyalahgunaan media sosial.
Beberapa ibu bapa turut meluahkan kebimbangan mengenai pelaksanaan dasar ini, khususnya berkaitan penggunaan dokumen rasmi bagi tujuan e-KYC serta kemungkinan wujudnya akaun palsu yang terlepas daripada sistem kawalan.
Mereka berharap garis panduan terperinci dapat diumumkan lebih awal supaya peranan masing-masing lebih jelas apabila dasar ini dikuatkuasakan.
Menurut pakar pendidikan, pendekatan bersepadu adalah paling berkesan kerana ia menggabungkan pengawasan, pendidikan dan kesedaran sosial secara serentak.
Beberapa kajian tempatan juga menunjukkan bahawa penggunaan media sosial secara berlebihan berkait rapat dengan tekanan emosi dan kemurungan dalam kalangan pelajar.
Kajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapati pelajar yang terlalu aktif menggunakan media sosial cenderung mengalami tahap kemurungan yang lebih tinggi, manakala kajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula menunjukkan hubungan positif antara ketagihan internet dan simptom kemurungan dalam kalangan pelajar universiti.
Bagi mengurangkan risiko ini, kerajaan menetapkan bahawa remaja di bawah 16 tahun akan dihadkan penggunaan media sosial, manakala mereka yang berumur 16 tahun ke atas dibenarkan menggunakannya secara sah.
Langkah ini diyakini dapat membentuk generasi yang matang, beretika dan mampu mengurus identiti digital dengan baik.
Kerajaan turut merancang kempen kesedaran, sesi dialog bersama ibu bapa dan guru, serta bengkel literasi digital di sekolah bagi memastikan objektif dasar ini difahami dan dilaksanakan dengan berkesan.
Secara keseluruhannya, larangan media sosial untuk remaja bawah 16 tahun berpotensi meningkatkan keselamatan digital dan kesejahteraan mental generasi muda.
Namun, keberkesanannya bergantung kepada penguatkuasaan yang konsisten, peranan aktif ibu bapa serta kesedaran masyarakat.
Menurut pakar keselamatan digital dari Sivaselvi Supramaniam dari UNICEF Malaysia, undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk melindungi anak-anak di alam maya, sebaliknya pendidikan literasi digital, pemantauan oleh ibu bapa dan sokongan komuniti perlu digerakkan serentak.
Sehubungan itu, beberapa NGO turut menegaskan bahawa pendekatan holistik melibatkan kerjasama kerajaan, ibu bapa, sekolah dan platform digital adalah penting bagi mewujudkan persekitaran siber yang benar-benar selamat untuk golongan remaja.
Dengan strategi menyeluruh, dasar ini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan dan perkembangan generasi muda Malaysia.
Maklumat penulis
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Raja Nurul Aishah Raja Ahmad
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharuddin Padli
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia merancang untuk memperkenalkan dasar baharu yang melarang penggunaan media sosial bagi remaja bawah 16 tahun seawal tahun 2026
- Dasar ini bertujuan melindungi golongan muda daripada risiko digital seperti buli siber, penyebaran maklumat palsu dan ketagihan media sosial
- Pendaftaran akaun media sosial baru akan memerlukan verifikasi umur melalui sistem e-KYC dengan dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport
- Pelaksanaan dasar ini melibatkan kerjasama penyedia platform, kawalan oleh ibu bapa dan pendidikan literasi digital di sekolah
- Pendekatan holistik yang menggabungkan pengawasan, pendidikan dan kesedaran sosial ditekankan untuk melindungi kesejahteraan mental dan perkembangan generasi muda