Dua banduan cemerlang mahu jadi pensyarah, jurutera
Tekad mahu mengubah diri dengan pendidikan tidak pernah luntur dalam jiwa bekas pelajar Sekolah Integriti (SI) Kluang, Johor dikenali sebagai Ash yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak dua kali di sebalik tirai besi.
Ash, 22 pada masa yang sama, kini berada di tahun akhir diploma keusahawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dia yang memperoleh keputusan 8A dalam SPM diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang yang diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM SI dan Sekolah Henry Gurney (SHG) 2023 di Kompleks Penjara Kluang pada Isnin.
"Saya tidak memperoleh sebarang A sewaktu peperiksaan SPM pada usia 17 tahun. Kemudian saya mengambil peperiksaan SPM kali kedua selepas dimasukkan ke SI Kluang pada 2019 dan memperoleh 5A.
"Tidak mahu mengalah saya duduki SPM sekali lagi pada tahun lepas, meskipun sedang melanjutkan pengajian peringkat diploma dengan tajaan UPSI.
"Di sini cabaran buat saya, kerana perlu membahagikan masa. Saya tumpukan pengajian diploma pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad manakala hari lain untuk ulang kaji SPM," katanya.
Ash yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berazam mahu menyambung pengjian di peringkat PhD dan seterusnya mengejar cita-cita sebagai pensyarah.
Seorang lagi penerima anugerah, dikenali sebagai Aiman, 20, yang memperoleh keputusan 8A, nekad bangkit dan tidak mahu berputus asa untuk bergelar jurutera.
"Saya mengambil SPM di SI Marang, Terengganu kerana mahu membuktikan seorang banduan juga mampu mencipta kejayaan dalam penjara.
"Saya sudah membuat perancangan dalam bidang kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Voksional (TVET) dalam kursus komputer," katanya.
Sebelum itu, dua banduan tersebut turut menerima hadiah wang tunai yang disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dan Timbalan Komisoner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Empat calon SPM dari SI dan SHG mendapat keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Sementara SI Marang berjaya memperoleh pencapaian terbaik keseluruhan SI dan SHG dalam SPM dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.53.