Dua pelajar jalani latihan amali di KPM
Dua pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) terpilih menjalani Program Latihan Amali IPG selama seminggu di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Mereka ialah Jeremiah Lucas Jugo anak David dari IPG Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan dan Muhammad Aminuddin Hadiman, IPG Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor.
Program Latihan Amali IPG bertujuan mendedahkan pelajar kepada kepimpinan dan pengurusan kerja di peringkat Pengurusan Tertinggi KPM.
Selain itu, platform tersebut dapat dijadikan pendedahan awal mereka kepada dunia pekerjaan yang sebenar sebagai pendidik kelak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek gembira dan mengalu-alukan kedatangan pelajar dari dua IPG berbeza itu.
"Selamat datang saya ucapkan dan kutiplah mutiara ilmu dan pengalaman berharga sebanyaknya di sini untuk bekalan pembangunan kerjaya dan kehidupan pada masa hadapan.
"Selamat maju jaya dan selamat bertugas," ujarnya seperti dipetik menerusi laman Facebooknya pada Isnin.