Dua remaja ungguli pertandingan robotik antarabangsa
World of Robotics Championship (WRC) 2023 kali ke-5 yang berlangsung selama tiga hari di ibu negara sejak Sabtu lalu, berjaya mencungkil bakat terpendam anak-anak muda seluruh Malaysia.
Mana tidaknya, daripada 220 penyertaan pelajar lingkungan usia tujuh hingga 19 tahun itu, dua daripada mereka layak ke peringkat antarabangsa mewakili Malaysia di Beijing pada tahun 2024 nanti.
Dua pelajar dari Asia Pacific Centre of Robotics Engineering (APCORE APU) iaitu Thasne Rames, 19 dan Low Yinn Ean, 17, mengunguli kejohanan WRC 2023 itu menerusi kategori Soccerbot.
Kedua-dua remaja itu membawa pulang tiket penerbangan, pakej penginapan, piala kejuaraan dan sijil.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Sukan, Ko-kurikulum dan Seni, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainuren Mohd Nor berkata, WRC 2023 bukan sekadar pertandingan robotik, sebaliknya ia platform inovasi, bukti potensi anak-anak Malaysia.
"Ini adalah satu langkah menuju masa depan di mana teknologi dimanfaatkan untuk menyelesaikan cabaran-cabaran di hari esok.
"Pertandingan WRC bakal menyemarakkan semangat generasi muda untuk mempelopori bidang sains, inovasi dan teknolohi akan ke arah masa depan yang lebih cerah dan celik teknologi," katanya sewaktu merasmikan penutupan WRC 2023 di ibu negara pada Isnin.
Hadir sama dalam kejohanan itu ialah Pengarah Urusan World of Robotics Sdb Bhd, Lee Yew Kein dan Ketua Pegawai Eksekutif APIIT Education Group, Datuk Dr Parmjit Singh.
Terdahulu, Yew Kein berkata, WRC 2023 anjuran bersama KPM dan World of Robotics Sdn Bhd dengan kerjasama Asia Pacific University of Technology itu memasuk tahun kelima yang mana kali pertama diadakan pada 2016 lalu.
"Bagaimanapun, pertandingan ini terpaksa ditunda pada tahun 2020 sehingga 2022, disebabkan pandemik Covid-19.
"Kini ia kembali semula untuk memberi peluang kepada anak-anak muda tanah air menunjukkan bakat masing-masing di samping menekankan kepentingan memupuk minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM)," katanya.
Jelasnya, WRC 2023 menampilkan enam kategori yang direka untuk menguji kebolehan peserta dalam pelbagai aspek robotik.
"Ia adalah Rookie A, Rookie B, Modular A, Modular B, Modular C dan kategori Soccerbot yang menguji kemahiran dan kreativiti peserta.
"Kepelbagaian di setiap kategori adalah untuk memastikan perbezaan tahap kepakaran dan pengalaman peserta dapat terlibat dalam persaingan yang sihat.
"Kali ini juga, sejumlah 50 buah sekolah menghantar pelajar mereka," katanya.
Untuk rekod, sejak tahun 2016, WRC menjadi acara tahunan yang merupakan platform penting bagi pelajar seluruh Malaysia untuk mengaplikasikan kemahiran dan bakat mereka dalam dunia robotik yang dinamik.
Berikut senarai nama pemenang WRC 2023:
Soccerbot Winner
- Thasne Rames, 19
- Low Yinn Ean, 17
Rookie A
- Rayyan Aieryll Raykal Huzaiel Benjamien, 7
- Luqman Al-Hakim Sulaiman, 9
Rookie B
- Ahmad Danish Rozaini, 11
- Muhammad Fikri Mohd Shahiran Shah, 10
Modular A
- Maryam Zahra Mohamed Syafiq Fitri, 9
- Muhammad Ammar Nu’man Norriza, 9
Modular B
- Syed Benjamin Izz Syed Shaddad, 12
- Rayyan Syaf Haris Rodney Pasla Haris, 12
- Aarash Muzaffar Shah Izwan Shah, 12
Modular C
- Hani Syafiqah Mohd Rizam, 14
- Sharifah Nur Tijani Hanan Syed Aminuddin, 13