Didikan autoritatif bermaksud ibu bapa berusaha mewujudkan ruang komunikasi baik bagi memastikan keperluan anak-anak dipenuhi, sekali gus melahirkan rasa selesa. (Gambar hiasan)
Didikan autoritatif bermaksud ibu bapa berusaha mewujudkan ruang komunikasi baik bagi memastikan keperluan anak-anak dipenuhi, sekali gus melahirkan rasa selesa. (Gambar hiasan)

Pesanan buat mak, ayah ubah cara didik anak-anak

28 Nov 2023 03:32pm
A
A
A

Ibu bapa disaran menukar cara didikan daripada pendekatan permisif kepada autoritatif agar mereka lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak terutama ketika berjauhan.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, didikan autoritatif bermaksud ibu bapa berusaha mewujudkan ruang komunikasi yang baik dengan anak bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi, sekali gus melahirkan rasa selesa kepada anak itu.

Permisif pula apabila ibu bapa membiarkan anak-anak 'hidup bersendirian' dalam melakukan apa-apa jua aktiviti termasuk proses menyelesaikan masalah.

"Gaya keibubapaan autoritatif adalah kaedah didikan keibubapaan terbaik dalam memberi kefahaman atau membimbing anak dan anak itu pula merasa dibimbing serta mendapat timbal balik sekali gus membesar dengan baik.

"Contohnya, jika seorang kanak-kanak berusia dua tahun, semestinya dia tidak faham sesetengah perkara dan masih bergantung kepada ibu bapa sepenuhnya untuk memberi tunjuk ajar, namun sekiranya dididik secara autoritatif, kanak-kanak itu akan mengetahui rasional dalam setiap tindakannya di samping mewujudkan perasaan kasih sayang secara timbal balik dan mengelak daripada perkara tidak diingini," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Shazli Ezzat yang juga Presiden Bakal, Persatuan Psikologi Malaysia berkata, kanak-kanak yang mendapat kasih sayang melalui cara didikan ini akan mendengar dan mematuhi ibu-bapa.

Beliau mengulas mengenai kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, yang ditemukan lemas di Bukit Baru, Melaka, setelah dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam longkang.

Sementara itu, Profesor Madya Harris Shah Abd Hamid daripada Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan University College of MAIWP International berkata, ibu bapa perlu sedaya upaya tidak mendedahkan anak kepada situasi berbahaya terutama buat kanak-kanak yang belum boleh membezakan antara baik dan buruk atau antara selamat dan bahaya.

Artikel Berkaitan:

"Tahap kematangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan biasanya ia mengambil masa untuk mereka memahami apa yang dikatakan bahaya atau selamat.

"Ia berlaku secara semula jadi, justeru, ibu bapa perlu sentiasa memberi peringatan atau berikan tunjuk ajar kepada anak-anak mengenai perkara itu," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok