No Image Caption

Dua sekolah catat kutipan kitar semula lebih 900kg

07 Aug 2025 03:52pm

Dua buah sekolah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya mencatatkan jumlah kutipan kitar semula melebihi 900 kilogram (kg) menerusi Pertandingan Kitar Semula Sekolah Peringkat MPAJ Tahun 2025 yang berlangsung sejak 1 Januari lalu.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah merekodkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak 691.35kg, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Perdana mencatatkan 245.5kg.

Kutipan di SMK Pandan Indah merangkumi kertas (490.75kg), kotak (54.45kg), plastik (83.95kg), besi (7.4kg), tin besi (5.7kg), aluminium (0.6kg), sisa elektronik (47.65kg), minyak masak terpakai (27kg) dan kotak minuman (0.85kg).

Sementara itu, SK Pandan Perdana mengumpul kertas (137.3kg), kotak (35.7kg), plastik (27.8kg), besi (10kg), aluminium (2kg), sisa elektronik (25kg) dan kotak minuman (7.8kg). Tiada kutipan direkodkan bagi kategori tin besi dan minyak masak terpakai.

MPAJ dalam kenyataannya memaklumkan, pertandingan anjuran Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan itu bertujuan memupuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal serta amalan pengasingan sampah.

“MPAJ merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas komitmen yang ditunjukkan demi kelestarian alam sekitar dan masa depan yang lebih mampan,” menurut kenyataan itu.

Majlis simbolik sempena pertandingan berkenaan diadakan pada 6 Ogos lalu di SK Pandan Perdana dan SMK Pandan Indah. Program itu akan diteruskan sehingga 30 Oktober nanti.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp